SECARA umumnya, manusia memiliki
dua jenis keperibadian iaitu; positif dan negatif yang tercermin pada tingkah
laku dalam setiap gerak geri kehidupan seharian. Sikap positif menjelma dalam
tindakan kepatuhan, mencari kebenaran, muhasabah diri, bekerja dengan amanah
dan bermuamalah dengan jujur dalam semua lapangan kehidupan.
Sikap negatif pula terlihat pada
penentangan, cenderung kepada perbuatan maksiat, malas bekerja serta melakukan
kerosakan terhadap diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat. Sehubungan itu, Rasulullah SAW
bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Ada enam perkara yang menyebabkan
amal kebajikan menjadi sia-sia (tidak mendapat pahala); iaitu sibuk mencari
keaiban orang lain, keras hati, terlalu cinta kepada dunia, kurang rasa malu,
panjang angan-angan dan orang yang berterusan melakukan kezalimannya".
(riwayat Dailami)
Pertama, orang yang lebih suka
mencari dan menyebarkan keburukan yang terdapat pada orang lain lalu
membesar-besarkannya, sementara aibnya sendiri tidak pernah diperiksanya sesuai
dengan pepatah lama "Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk
mata tidak nampak."
Terdapat sebuah riwayat
mengisahkan seorang khalifah yang melakukan rondaan dan lawatan terhadap
rakyatnya pada waktu tengah malam, lalu dia menemui dalam sebuah rumah seorang
lelaki dan wanita serta minuman khamar yang dihidangkan, dia masuk ke rumah itu
dengan memanjat dinding, terus menerjah masuk dan terjadilah dialog.
Khalifah: Hai musuh Allah,
apakah kau menyangka bahawa Allah akan menutupi kesalahan kau ini?
Lelaki: Tuan sendiri jangan
tergesa-gesa, tuan juga telah melakukan kesalahan.
Khalifah: Kesalahan apa yang
saya perbuat?
Lelaki: Kesalahan saya hanya
satu iaitu apa yang Khalifah lihat sekarang, sedangkan tuan telah melakukan
tiga kesalahan iaitu; mencari dan mendedahkan keburukan orang lain, padahal
Allah melarang perbuatan itu, masuk ke dalam rumah orang dengan memanjat
dinding, bukankah ada pintu yang harus dilalui dan masuk rumah tanpa izin tuan
rumah.
Kedua, sikap keras hati
bermaksud tidak mahu menerima pengajaran yang baik dan nasihat ke arah kebaikan
ditolaknya. Dia tidak suka segala kesalahannya dikritik apatah lagi
dipersalahkan, kerana dia yakin bahawa dialah yang paling benar, di samping itu
hatinya pula tidak tersentuh oleh penderitaan dan kesedihan orang lain.
Sewaktu hayat Rasulullah SAW,
terdapat suatu kejadian yang membuat semua sahabat bersedih kerana matinya
seorang anggota keluarga daripada mereka.
Bahkan Nabi SAW pun menitiskan
air matanya, sahabat-sahabat di sekitarnya pun berlinang air matanya, tetapi
ada seorang sahabat nampak biasa-biasa saja, sedikitpun dia tidak tersentuh
melihat kejadian itu. Lalu dia bertanya kepada Nabi SAW, maka Rasulullah SAW
menjawab, "Itu tandanya hati yang keras."
Orang yang keras hati lebih
cenderung bersifat ego, sombong, takbur dan tidak mahu menerima kebenaran,
kerana hatinya telah keras dan tidak terbuka untuk menerima pengajaran yang
benar.
Ketiga, kehidupan dunia
hanyalah sementara dan kita sebenarnya adalah seorang musafir yang berada dalam
perjalanan, lalu beristirehat pada sebuah tempat untuk sementara waktu. Namun
tidak sedikit pun manusia yang beranggapan bahawa tempat istirehat yang sejenak
itulah matlamat dan tujuan mereka sehingga lupa akan matlamat dan tujuan
sebenar mereka akan kembali kepada Allah Yang Maha Esa.
Justeru, Rasulullah SAW pernah
menegaskan bahawa pada suatu masa nanti, umat Islam akan ditindas dan dizalimi
oleh umat lain sebagaimana mereka menghadapi makanan di atas meja, padahal
jumlahnya ramai tetapi kekuatannya ibarat buih di atas lautan, mudah hancur.
Saat itu umat dihinggapi penyakit yang bernama al-Wahn iaitu suatu
penyakit yang meracuni umat ini sehingga mereka terlalu cinta kepada dunia dan
takut akan kematian.
Keempat, orang yang tiada
sifat malu ini, tidak akan malu-malu untuk berbuat apa pun menurut kemahuan
hawa nafsunya. Oleh itu, perbuatan dosa dan maksiat adalah agenda utama
kehidupan sehariannya, manakala benar dan salah tidak lagi menjadi suatu ukuran
dalam hidupnya.
Bila sifat malu tiada, maka dia
akan melakukan apa sahaja menurut kehendak nafsunya dan beranggapan bahawa
dirinya lebih suci daripada orang lain. Menurut Abu Hasan Al Mawardi, sifat
malu itu ada tiga jenis, iaitu;
1. Malu kepada Allah
2. Malu kepada manusia
3. Malu kepada diri sendiri.
Kelima, sifat panjang
angan-angan pula menunjukkan kekerdilan manusia, kemahuannya lebih tinggi,
tidak sesuai dengan kemampuannya yang sebenar, malah dia suka berkhayal dan
berangan-angan. Ungkapan yang biasa bermain pada lidahnya ialah seandainya,
andai kata, apabila, jika, kalau dan lain lain lagi.
Bahkan, dia banyak menghabiskan
waktunya untuk berangan-angan dan berkhayal pada setiap masa, tetapi dia sama
sekali tidak melakukan sesuatu. Ironinya, dia beranggapan bahawa khayalan itu
benar, indah dan realistik. Orang yang bersikap demikian samalah dengan ibarat
pungguk merindukan bulan atau katak ingin jadi kerbau.
Akhirnya, dengan kekuasaan dan
kekuatan, manusia akan melakukan eksploitasi terhadap orang lain, memeras
golongan bawahan dan menindas kelompok yang lemah. Jika perbuatan ini dilakukan
secara berterusan, maka akibatnya orang pun terus menerus menanggung kezaliman
dan penindasannya.
Demikianlah enam sifat mazmumah
yang dapat menghancurkan nilai-nilai ibadah, ia ibarat air di daun keladi, amal
yang dilakukan berpahala banyak tapi tertumpah tanpa meninggalkan sebarang
bekas. Jika enam sifat tercela ini terdapat dalam peribadi seseorang, maka
hendaklah dia berwaspada dan berhati-hati dalam segala tindak tanduknya selaras
dengan peringatan Rasulullah SAW dalam hadis di atas.