BOLEH dikatakan seluruh penduduk
dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju
hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul
dunia, atau lebih tepat kiamat.
Asalnya ia hanya momokan
masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti
detik dan waktu sahaja untuk musnah.
Apa yang dibimbangi barat itu
merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam
pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan
itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang
menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu
sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count
Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan
hancur.
Akan berlaku malapetaka alam
yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.
Ini termasuklah gelombang
tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri
berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh
tahun lalu.
Ia ditambah dengan
hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang
kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.
Semua itu kononnya berlaku kesan
daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan
sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.
Walaupun semua ini sekadar
ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan
sedikit kesannya kepada manusia.
Natijahnya, ramai daripada kita
seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu
percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini?
Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?
Pendakwah terkenal, Dr. Danial
Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun
memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh
kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.
"Jika percaya kepada semua
itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah
terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.
"Semua itu hanya sekadar
ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.
"Tidak sahaja dalam soal
ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya
akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan
manusia untuk berlaku," katanya.
Dalam Islam kata Dr. Danial,
ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk
perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.
Dua teks sama ada dari dalil
al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam
daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.
Ayat berikut misalnya adalah
satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa
datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya
hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan
kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah
berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak
datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu
seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya
pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).