BOLEH dikatakan semua agama di
dunia mempercayai akan hari khiamat. Agama Kristian, Yahudi atau lain-lain
agama di dunia ini juga dikatakan kononnya lebih 'tahu' akan tarikh berlakunya
kiamat.
"Kepercayaan mengenai hari
kiamat terutamanya menurut agama Kristian dan Yahudi memang ada asasnya kerana
nabi-nabi mereka diterima dan diiktiraf dalam Islam. "Tetapi pada asasnya
kepercayaan hari kiamat mereka adalah sebagaimana kepercayaan dalam Islam itu
sendiri.
"Iaitu tidak ada tarikh tertentu
diberikan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam. "Malah mereka percaya
akan turunnya Al Masih, Nabi Isa, kerosakan yang dilakukan oleh Dajjal, kaum
Yakjud dan Makjud dan sebagainya.
"Tetapi jika mereka
mempergunakan agama bagi menyatakan tarikh sebenar kiamat, itu sebenarnya
berlaku kesesatan dalam agama mereka sendiri. "Begitu juga kepada umat
Islam yang meramalkan tarikh kiamat atas nama Islam, maka itu dikira sesat
dalam agama kita," kata Dr. Danial.
Tambah beliau, atas nama agama,
manusia akan mencipta segala macam ramalan yang bukan-bukan yang tidak masuk
akal. Semua itu sebenarnya jika tidak berhati-hati merupakan permainan syaitan
dan iblis.
Golongan yang membuat ramalan
akan hari khiamat itu sebenarnya ada kepentingan tertentu yang bukan sahaja
membawa faedah kepada diri mereka tetapi memberikan kemenangan kepada
kuasa-kuasa jahat iblis dan syaitan yang suka menyesatkan manusia.
Sehingga berlaku penyembahan,
sanggup melakukan korban supaya terselamat jika berlaku kiamat dan sanggup
membunuh diri bagi mengelakkan azab ditimpa kiamat. Semua itu, kata Dr. Danial
adalah kesesatan kesan mempercayai kepada segala macam ramalan tersebut.
Mungkin tarikh kiamat yang
kononnya berlaku hujung tahun hadapan sedikit sebanyak akan memberi iktibar dan
satu peringatan keras yang membuatkan manusia supaya bersedia menghadapinya.
Ini termasuklah melakukan amal
kebaikan, bertaubat, tidak melakukan maksiat, kuat beribadat dan sebagainya
lagi. Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Danial, bagaimana jika selepas
Disember 2012 itu, tidak berlaku kiamat? Bagaimana keadaan manusia yang telah
melakukan pelbagai persediaan untuk menghadapi kiamat itu?
"Manusia pastinya akan
gembira, mencampakkan segala amalan kebaikan untuk kembali berfoya-foya, tidak
ingat Tuhan kerana kiamat tidak jadi.
"Seperti ada sambutan
meriah apabila kiamat tidak berlaku," tegas beliau.
Sedangkan kata Dr. Danial, agama
Islam telah lengkap dalam memperkatakan hari kiamat. Hikmah tarikh kiamat
dirahsiakan supaya manusia sentiasa bersedia secara jujur, ikhlas kerana
percaya hidup di dunia hanya sementara kerana yang kekal adalah di akhirat.
"Justeru kehadiran 2012
esok lusa ini hendaklah 'disambut' dengan penuh keinsafan terutamanya semakin
dekatnya kita kepada tanah perkuburan, persemadian abadi yang memutuskan segala
amalan kita di dunia kecuali bekalan yang kita bawa akhirat kelak.
"Sama ada tahun hijri
mahupun masihi hendaklah disambut dengan ibadah bukannya dengan keseronokan dan
hiburan yang melampau kerana umur semakin meningkat dan kematian akan menjemput
kita tanpa mengira masa dan keadaan.
"Bertambahnya tahun untuk
kita hidup, bermakna Allah memberikan 'bonus', kelebihan masa dan waktu untuk
kita menambahkan amalan kebaikan dan kebajikan. Malangnya sekalipun ada
peringatan kononnya Kiamat tetapi saya yakin yang bakal di sambut sempena tahun
baru 2012 adalah tetap mengikut nafsu," katanya.
Manusia harus menyedari kini
bahawa masa kian dan semakin pantas berlalu. Setahun 2011 yang berlalu begitu
cepat sehinggakan manusia tidak sempat menyempurnakan pelbagai azam dan
cita-cita.
"Jadi adakah masanya lagi
untuk membuang-buang masa untuk perkara yang tidak berfaedah?
"Sekalipun kita merasakan
kita begitu sibuk sehingga menyebabkan masa dirasakan begitu pantas berlalu,
namun kebanyakan kita sibuk dengan aktiviti yang tujuannya adalah salah kerana
kita mempunyai misi hidup yang salah," katanya.
Sedangkan manusia hendaklah
istiqamah dalam perkara kebaikan dan konsisten dalam ibadah dengan misi hidup
adalah mencari kemuliaan dan ketaqwaan di sisi Allah. Bukan meletakkan sasaran
kemuliaan di sisi manusia dengan mengejar pangkat, harta dan sebagainya.
Benarlah manusia itu kerugian dari aspek masa.
Sehinggalah Allah bersumpah
sebagaimana dalam surah al-Asr: 1-3: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu
dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka
pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.