PENULIS buku terkenal, Muhammad
Alexander Wisnu Sasongko yang begitu mendalami persoalan hari kiamat dalam
sebuah buku karya terbaru beliau iaitu Armagedon 2012 - Bencana Akhir Zaman
yang setebal 558 muka turut meminta umat Islam tidak tersesat dengan dakwaan
2012 merupakan tahun yang mengakhiri usia dunia ini.
Beliau mengulas bahawa ramalan
bencana besar yang akan berlaku pada 2012 dan apa juga bentuk ramalan yang
seumpama itu adalah bahaya kepada orang yang tidak memiliki iman yang kuat
kerana dikhuatiri mereka akan mempercayainya.
Di samping itu, ia juga sangat
bertentangan dengan akidah Muslim, kata penulis buku-buku bestseller seperti
Yakjuj dan Makjud: Bencana Di Sebalik Gunung (2010) dan Alexander
adalah Zulqarnain (2009) yang meraih jumlah cetakan melebihi 20,000 naskhah
di negara ini
Walaupun kita tidak pernah
menemui para peramal bagi mendapatkan ramalan-ramalan mengenai bila akan
berlakunya kiamat itu, tetapi jika kita sekadar mempercayai melalui apa yang
kita dengar, baca dan lihat juga dikhuatiri boleh merosakkan iman dan akidah.
Sedangkan Islam telah menegaskan
bahawa hukum mempercayai ramalan terutama dari tukang-tukang ramal adalah
haram. Umat Islam sama sekali ditegah dari mempercayai sebarang ramalan
terutama yang tidak bersandarkan al-Quran dan hadis.
"Sesiapa yang menemui
paranormal, dukun ataupun ahli nujum (ahli astrologi) dan mempercayai apa yang
mereka katakan, maka kafir atas apa yang yang diturunkan kepada Muhammad,"
(riwayat Tirmidzi dan Abu Daud)
Menurut Muhammad Alexander,
melalui teks al-Quran dan hadis telah membuktikan tarikh hari kiamat adalah
rahsia Allah.
"Hari kiamat termasuk dalam
kategori perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Manusia termasuk Nabi
Muhammad dan Malaikat Jibrail pun tidak mengetahui akan tarikh berlakunya
kiamat itu," katanya.
Tetapi Allah memberitahu
tanda-tanda kiamat. Tanda-tanda besar sebagai memberitahu Kiamat benar-benar
sudah hampir, seperti:
1) Kemunculan atau keluarnya
asap putih yang menyelubungi seluruh atmosfera bumi,
2) Kemunculan Dajjal, bermata
satu yang bertujuan untuk menyesatkan manusia termasuk dengan mengaku bahawa
dirinya Allah.
3) Turunnya Nabi Isa AS bagi
menyelamatkan manusia dari fitnah dajjal tersebut.
4) Munculnya juga bangsa atau
kaum Yakjud dan Makjud
5) Dan apabila matahari tidak
lagi terbit dari sebelah timur tetapi mula terbit dari sebelah barat.
"Sebenarnya kiamat versi
Islam juga memang ada menceritakan tentang gempa bumi yang besar sebagaimana
gambaran kejadian yang menjadi ramalan para peramal barat dan lain-lain
individu mengenai berlakunya kiamat tersebut.
"Ini termasuklah juga bumi
yang bergegar, gunung ganang yang berterbangan dan hancur menjadi debu dan
tsunami besar," katanya.
Ini sebagaimana yang disebut
dalam al-Quran: Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya dan gunung
ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya maka jadilah ia debu yang
berterbangan. (al-Waqiah: 4-6)
Dan apabila lautan pecah
bercampur baur. (al-Infitar: 3). Dalam Islam, kiamat kubra (kiamat
besar) berakhir dengan kematian seluruh umat manusia.
"Jadi bagaimana kita boleh
percaya bahawa kiamat berlaku pada 2012 sebagaimana yang diramalkan dan
difilemkan jika masih ada manusia yang terselamat apabila menaiki kapal-kapa
laut yang dibina dengan begitu canggih dan tahan bencana," kata Muhammad
Alexander.
Dengan buku Armagedon 2012
itu, Muhammad Alexander tidak sahaja menidakkan ramalan kiamat yang kononnya
akan berlaku pada 2012 tetapi kajian beliau mengenai fasa demi fasa berlakunya
kiamat itu mengikut al-Quran, hadis dan bukti dari aspek sains moden yang pada
akhirnya pembaca mampu menelah sendiri akan bila dikatakan kiamat itu akan
berlaku.
Sementara seorang lagi penulis
Islam terkenal, Adnan Oktar atau lebih dikenali sebagai Harun Yahya dalam
bukunya Hari Akhir dan Imam Mahadi menjelaskan pelbagai tanda kiamat di
dalam al-Quran.
Tambahan penjelasan mengenai
hari akhirat dalam kitab-kitab hadis memungkinkan kita sampai pada sebuah
kesimpulan yang penting, iaitu terdapat dua tahap atau fasa berlakunya kiamat.
Tahap pertama adalah tempoh di
mana seluruh manusia mengalami pelbagai masalah material dan spiritual
(kerohanian dan jiwa).
Setelah itu bumi akan memasuki
tempoh selamat yang disebut sebagai masa keemasan yang ditandakan dengan
kehidupan yang penuh rahmat dan berkat serta tegaknya agama Islam yang benar.
Menjelang akhir masa keemasan,
akan ada keruntuhan sosial dalam masa waktu yang singkat. Di saat itulah
manusia akan menunggu berlakunya kiamat dalam erti kata yang sebenar.
Ini sebagaimana yang disebut
dalam al-Quran, yang bermaksud: Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu
melainkan Hari Kiamat yang datangnya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana
sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedah bagi mereka
kesedaran mereka itu apabila Hari Kiamat sudah datang? (Muhammad: 18)
Justeru, Hari Kiamat sememangnya
sedang menunggu kita, sedangkan manusia pada hakikatnya mengetahui 'bila' akan
berlakunya kiamat itu dan jika berlaku pada hari ini sekalipun, umat Islam
sememangnya telah bersedia untuk menghadapinya.
Ini kerana kita telah diberikan
panduan dan tanda-tanda berlakunya kiamat.
Jadi mengapa kita harus percaya
pada ramalan-ramalan dan khayalan manusia yang ada kepentingan dan perjanjian
dengan syaitan itu?