TIDAK dapat dinafikan drama bersiri popular Winter Sonata merupakan
perintis terhadap kegilaan peminat drama terhadap drama Korea.
Sehingga ke hari ini, drama cinta lakonan Choi Ji Woo dan Bae Yong
Joon itu masih kekal di carta pertama drama Korea yang harus ditonton
meskipun selepas 10 tahun drama itu ditayangkan.
Pada 14 Januari lalu, aktres Choi Ji Woo yang memegang watak wanita
utama sebagai Jeong Yoo Jin telah meraikan ulang tahun ke-10 drama
tersebut sambil memberi semangat kepada barisan pelakon untuk teater
muzikal Winter Sonata yang diarahkan oleh pengarah yang sama iaitu Yoon
Suk Ho.
“Sebagai aktres yang membawakan watak utama dalam Winter Sonata satu
memori yang tidak dapat dilupakan. Malah, sehingga ke hari ini saya
masih ingat beberapa dialog yang dilontar dalam drama Winter Sonata.
“Apabila melihat drama yang sama dipentaskan ke pentas teater dan ia
sebuah teater yang berjaya, saya rasa sungguh bangga kerana saya juga
sebahagian daripada Winter Sonata,” ucapnya.
Pementasan muzikal Winter Sonata mendapat sambutan yang hangat
meskipun setiap watak dalam pementasan itu dilakonkan oleh pelakon yang
lain.