Sebilangan peminat gajet Apple naik berang, selepas pelancaran
telefon pintar iPhone 4S dibatalkan berikutan kehadiran pelanggan yang
terlalu ramai. Sehubungan itu, orang ramai bertindak membaling telur ke arah kedai
rangkaian Apple di sebuah pusat beli belah di daerah Sanlitun, semalam.
Beratus-ratus pelanggan termasuk antara 20 dan 30 pekerja asing yang
diupah sanggup beratur dalam keadaan cuaca sejuk bagi menunggu
pelancaran gajet tersebut.
Apabila kedai yang dijangka dibuka pada pukul 7 pagi waktu tempatan
itu tidak dibuka dan pelancaran telefon
pintar itu dibatalkan, orang
ramai mula naik berang lalu membaling telur ke arah premis terbabit. Sehubungan itu, polis mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan premis dan menutupnya dengan meletakkan pita kuning.
Menurut jurucakap Apple, Carolyn Wu, jumlah pelanggan yang terlalu ramai menyebabkan stok telefon terbabit tidak mencukupi.
"Premis Apple di pusat beli belah Sanlitun tidak akan dibuka dan
iPhone 4S tidak akan dijual buat sementara waktu di rangkaian kedai
Apple di Beijing dan Shanghai berikutan jumlah pelanggan yang terlalu
ramai, namun orang ramai boleh menempahnya secara dalam talian,"
katanya.