Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada kumpulan pekerja lama
dalam kumpulan pelaksana Gred-17 skim Saraan BaruPerkhidmatan Awam
(SBPA). Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pihaknya menyarankan
kumpulan itu dinaikkan ke satu gred yang lebih tinggi sebagai
pengiktirafan kepada petugas-petugas berkenaan.
Katanya perkara ini perlu dikaji supaya kedudukan mereka yang
berkhidmat lama dengan kerajaan diambil kira dan mengiktiraf apa-apa
sijil kemahiran dan teknikal untuk tujuan kenaikan pangkat sehingga ke
Gred-21.
"Sekarang ini kalau kita lihat, kerajaan hanya beri satu kenaikan
saja kepada mereka yang berkhidmat (dengan kerajaan) hingga 30 tahun
atau 35 tahun, iaitu sama dengan orang baru yang dinaikkan pangkat
ataupun baru saja berkhidmat empat atau lima tahun.
"Dalam SPBA sekarang, mereka yang ada sijil diberi kenaikan kepada
Gred T8. Tetapi yang sudah lama berkhidmat pula tidak berpeluang kerana
mereka tidak dapat pengiktirafan...sedangkan mereka juga mempunyai sijil
yang sama," katanyakepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada satu majlis penerangan bersama Kesatuan
Kakitangan Sokongan Jabatan Perikanan Terengganu di sini hari ini yang
turut dihadiri Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng. Sehubungan itu Azih berkata Cuepacs juga mahu lapisan gred kumpulan
pelaksana untuk kenaikan pangkat ditambah kerana ketika ini jumlahnya
adalah terlalu sedikit dan berharap perkara ini dikaji semula
sewajarnya.
"Kita juga mahu menekankan apa yang disentuh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 mengenai penyelarasan
kenaikan gaji dari tujuh hingga 13 peratus sebenarnya tidak langsung
berlaku.
"Ini kerana sebilangan besar penjawat awam sebenarnya tidak menerima
kenaikan sehingga tujuh peratus, tetapi cuma menerima sehingga empat
peratus sahaja," katanya.
Selain itu katanya, Cuepacs masih komited memperjuangkan lima fokus
utama berhubung SBPA dan berharap perkara tersebut dapat diselesaikan
sebaik mungkin.Lima tuntutan Cuepacs itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan
gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat
dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum;
menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga
13 peratus danmenyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua
gred.