MOHD. SHUKRI diiring keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas dia didenda RM2,000 semalam.
Tindakan seorang duda yang menggigit telinga kiri seorang anggota
polis hingga hampir putus minggu lalu berbalas apabila dia didenda
RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam. Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas
tertuduh, Mohd. Shukri Muda, 34, yang berjalan terhencut-hencut akibat
terkena tembakan di kaki yang dilepaskan anggota polis berkenaan mengaku
salah atas perbuatannya.
Mohd. Shukri semasa mendengar keputusan itu hanya menundukkan kepala di dalam kandang mahkamah. Dia bagaimanapun gagal membayar denda itu dan terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua bulan.Difahamkan Mohd. Shukri yang bekerja sebagai tukang rumah mempunyai tiga orang anak dan baru sahaja bercerai dengan isterinya enam bulan lalu.