Edisi Sukan! Kenapa Fabio Capello letak jawatan?

Oleh Kaki Wayang on

Fabio Capello mengejutkan bola sepak Inggeris semalam apabila meletak jawatan sebagai pengurus, kurang empat bulan menjelang Kejohanan Eropah (Euro) 2012 ekoran tidak sebulu dengan tindakan Persatuan Bola Sepak (FA) melucutkan John Terry sebagai kapten skuad kebangsaan.

Tempat Capello akan diganti sementara oleh Stuart Pearce untuk perlawanan persahabatan dengan Belanda pada 29 Februari ini.

Pearce merupakan pengurus skuad Bawah 21 England.

Semalam merupakan hari yang penuh dramatik dalam sejarah bola sepak England apabila peletakan jawatan itu disahkan hanya beberapa jam selepas calon pengganti, Harry Redknapp dibebaskan daripada tuduhan cuba lari dari cukai. 

Keputusan Capello meletak jawatan dibuat selepas mengadakan rundingan dengan beberapa pegawai kanan FA yang berang dengan tindakannya mengkritik badan bola sepak England itu secara terbuka minggu lalu gara-gara tidak gembira dengan pemecatan Terry. 

Kedudukan Capello sebagai pengurus mula panas selepas beliau memberitahu rangkaian televisyen Itali, Ahad lalu bahawa beliau sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan FA melucutkan Terry, yang sedang menunggu perbicaraan atas dakwaan menghambur kata-kata perkauman terhadap pemain pertahanan Queens Park Rangers, Anton Ferdinand ketika saingan Liga Perdana Inggeris, Oktober 2011. 

Meskipun beberapa pegawai kanan FA tidak gembira dengan kenyataan Capello, namun bekas jurulatih AC Milan dan Real Madrid itu dijangka kekal bersama pasukan hingga kontraknya berakhir, iaitu sejurus tamat Euro 2012, Julai ini. 

Bagaimanapun pengumuman mengejut ini disiarkan pada jam 7.20 petang semalam (3.20 pagi waktu Malaysia) dan FA mengesahkan kerjasama empat tahun Capello dengan badan itu berakhir. 

“Persatuan Bolasepak mengesahkan bahawa Fabio Capello hari ini telah meletak jawatan sebagai pengurus England,” kata kenyataan tersebut sejurus selepas Capello mengadakan rundingan dengan Pengerusi FA, David Bernstein dan Setiausaha FA, Alex Horne.

Menurut kenyataan itu lagi, rundingan tersebut terarah kepada isu pelucutan Terry sebagai kapten England dan respons yang dikeluarkan oleh Capello kepada media Itali. 

“Peletakan jawatan Fabio diterima dan beliau akan meninggalkan jawatan pengurus England berkuat kuasa serta merta,” tambah kenyataan itu lagi. 

Capello, 65, mengambil alih jawatan pengurus England pada Disember 2007 ekoran kegagalan negara itu melayakkan diri ke pusingan akhir Euro 2008. Beliau menandatangani kontrak mewah 6 juta pound (RM28.6 juta) setahun.

Pendekatan disiplin yang diterap dalam skuad England menunjukkan keputusan memberangsangkan dalam tempoh dua tahun pertama, apabila mudah membawa England layak ke Piala Dunia 2010.
 

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...