PADA pukul 3.43 petang Sabtu lalu (Ahad pagi waktu Malaysia), polis
Los Angeles yang menerima panggilan kecemasan telah bergegas ke bilik
penginapan Whitney Houston di Hotel Hilton Beverly. Malah pasukan paramedik yang kebetulan berada di hotel berkenaan
turut bergegas ke bilik penginapannya. Tetapi mereka tidak dapat
berbuat-buat apa untuk menyelamatkan nyawa penyanyi tersohor itu. Ironinya, sesuai dengan taraf diva yang diterima, riwayat hidup
Houston berakhir pada malam sebelum Anugerah Grammy - malam yang
sentiasa ditunggu-tunggunya saban tahun.
Serentak dengan itu juga, berita kematiannya tersebar ke serata
dunia. Orang ramai yang lalu lalang di Time Square, New York tergamam
seketika seolah-olah tidak percaya akan berita kematian diva berusia 48
tahun ini. Yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah yang menjadi punca
kematiannya? Lagi pula, berita mengenai Houston terutama yang kurang
enak tentang dirinya agak jarang terpampang di media massa kebelakangan
ini.
Sehingga artikel ini ditulis, punca kematian Houston masih lagi
disiasat dan semuanya akan terjawab sebaik sahaja keputusan bedah siasat
diumumkan. Biar sebab-sebab kematiannya masih tidak pasti namun pemergian anak
kelahiran New Jersey, AS ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi serta
kurang enak didengar.
Sudah pasti, punca utama yang dikaitkan dengan Houston adalah dadah
dan alkohol yang telah menjadi sebahagian hidup penyanyi itu sejak
sekian lama. Mungkin terlalu awal untuk mengaitkan kedua-dua faktor itu tetapi
jika diselak kembali helaian diari hidup pemilik nama penuh Whitney
Elizabeth Houston ini, memang tiada yang mustahil.
Kerana dadah dan alkohol jugalah, ia telah menjatuhkan prestij dan
kedudukan Houston sebagai bintang termasyhur dunia yang disanjung jutaan
peminatnya. Malah menurut sumber, sewaktu Houston melatih penyanyi Brandy dan
Monica ketika latihan persembahan untuk Grammy Khamis lalu, dia bukan
sahaja kelihatan berpeluh tetapi nafasnya juga berbau arak dan rokok.
Dua hari lalu, penyanyi itu turut mengadakan persembahan pada malam parti pra-Grammy bersama-sama Kelly Price. Kehidupan malap Houston bermula apabila dia mendirikan rumah tangga
bersama bekas anggota kumpulan pop, New Edition, Bobby Brown pada tahun
1992. Sebelum itu, Houston pernah dikaitkan dengan beberapa orang lelaki termasuklah pemain American football, Randall Cunningham dan pelakon komedi terkenal, Eddie Murphy. Ketika Houston membuat keputusan untuk berkahwin dengan Brown, ramai
menganggap ia satu langkah yang kurang bijak ekoran reputasi dan rekod
buruk lelaki itu.
Namun kerana cinta yang mendalam kepada Brown, Houston tidak
mempedulikan kata-kata orang termasuk keluarganya yang tidak berkenan
dengan pilihan hati Houston itu. Ternyata cinta melangkaui segala-galanya buat Houston dan Brown dan
mereka dikurniakan dengan satu-satuya anak perempuan, Bobbi Kristina
Houston Brown yang kini berusia hampir 18 tahun.
Permulaan kehidupan mereka berjalan dengan baik sehinggalah beberapa
tahun selepas itu apabila rumah tangga mereka berdepan dengan pelbagai
masalah yang berpunca daripada Brown. Lelaki itu bukan sahaja terlibat dalam kes-kes jenayah sehingga
dipenjarakan, lebih malang lagi, Brown merupakan individu yang
bertanggungjawab merosakkan reputasi dan prestij Houston dengan dadah
dan alkohol.
Walaupun begitu, Houston masih terus setia di samping suaminya
walau dikecam dan dikritik oleh masyarakat yang melihatnya sebagai
seorang yang kurang waras apabila terus bersama lelaki yang dianggap
perosak itu.
Tetapi ketika itu, nasib masih menyebelahi Houston kerana lagu-lagu
dan suaranya masih lagi bertenaga serta diterima baik oleh para peminat
setianya. Nama penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu I Will Always Love You dan I Wanna Dance With Somebody (Who Loves Me)
terus berada di puncak sehinggalah pada awal tahun 2000 apabila dengan
perlahan-lahan kualitinya sebagai penyanyi termasyhur mula jatuh. Suaranya yang dahulu dianggap sebagai suara emas berubah menjadi
parau sehingga dia tidak mampu lagi menyanyi seperti asal. Nota tinggi
yang sering dinanti-nantikan tidak lagi berupaya memukau peminat.
Semuanya berpunca daripada pengambilan dadah dan alkohol yang menjadi
peneman setia Houston setiap masa terutama ketika dia berdepan dengan
pelbagai masalah rumah tangga dan hidup. Sehinggakan peminat setianya sendiri mengecam dan mengkritik Houston apabila dia muncul dengan album I Look To You pada tahun 2009 selepas kali terakhir hadir dengan album Just Whitney... pada 2002.