“Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka,
“Bukankah Aku ini Tuhanmu?”
Mereka menjawab, “Betul, kami menjadi saksi” agar di hari kiamat kamu
tidak mengatakan, “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang lengah
terhadap ini,” (Surah Al-A’raf: 172).
Maha Suci Allah, segala puji-pujian bagi
Allah dan aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa
serta Muhammad SAW itu adalah pesuruh-Nya dengan nikmat yang diberikan
untuk lahir ke dunia sebagai seorang Muslim.
Saksikanlah bagaimana seorang bayi di
dalam rahim ibunya yang kebiasaannya tidak duduk diam secara tiba-tiba
tenang dan bersujud sejurus didengarkan ayat suci Al-Quran Al-Karim
sudah cukup untuk menyedarkan ramai umat Islam betapa hebatnya mukjizat
yang diturunkan kepada Muhammad SAW.
Rakaman video yang dimuat turun di laman
Youtube itu jelas sekali mempamerkan keajaiban Kitabullah itu dan
sememangnya fitrah manusia untuk tunduk kepada Allah serta firmanNya.
Sebuah hadis Rasulullah SAW yang
diriwayatkan oleh Al-Bukhari juga menjelaskan bahawa setiap manusia itu
dilahirkan di dalam keadaan fitrah yang suci dari sebarang dosa dan
seterusnya terpulang kedua ibubapanya untuk ‘mewarnainya’.
“Setiap anak dilahirkan
dalam keadaan fitrah, kecuali orang tuanya yang menjadikannya Yahudi,
Nasrani atau Majusi,” (Riwayat Al-Bukhari).
Jelas sekali kebenaran riwayat para
ulama yang berpendapat bahawa setiap insan sebelum lahir ke muka bumi
ini sememangnya sudah mengaku Allah SWT itu sebagai Tuhan sejak di alam
roh (roohul mumayyiz) lagi.
Malah, diriwayatkan juga bahawa semua
roh manusia telah berjanji kepada Allah Azza Wa Jalla untuk menyembahNya
dan menjadi seorang hamba yang taat pada Tuhan mereka.
Dan penulis mengambil kesempatan ini
untuk mengingatkan diri sendiri dan seluruh umat Islam untuk terus tidak
lupa untuk sujud kepada Maha Pencipta agar kita semua bertemu kembali
denganNya juga di dalam keadaan fitrah yang suci dari sebarang dosa,
Insyaallah.
Alhamdulillah, Allahu Akbar dan
sama-samalah kita memperingati pengertian syahadah yang kita lafazkan
setiap kali bersolat kepada Allah SWT, wallahu’alam.