Penantian sepasang suami isteri, Norbazilah Amin, 27, dan Mohd.
Sazalee Mohd. Hilal, 35, untuk memiliki cahaya mata sejak tiga tahun
lalu berbaloi apabila dikurniakan kembar empat pada 14 Oktober lalu. Kembar empat tidak seiras itu, terdiri daripada tiga perempuan iaitu
Sherlea, Seliesha, Shazrica dan seorang lelaki Shazrick dilahirkan di
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menceritakan pengalaman mengandung dan melahirkan keempat-empat mereka, Norbazilah, yang bekerja sebagai jururawat di PPUM terpaksa mengambil cuti setahun sepanjang tempoh itu.
"Ini kerana kesihatan yang tidak menentu dan dalam tempoh itu saya sering berulang-alik ke PPUM untuk mendapat pengawasan rapi daripada doktor.
"Saya tidak boleh makan dan hanya minum untuk mengalas perut yang lapar. Akhirnya saya bersalin menerusi pembedahan pada usia kandungan mencecah tujuh bulan empat hari," katanya ketika ditemui pada majlis cukur jambul bayi kembar empat itu di rumah ibu bapanya di Taman Sri Mas, di sini semalam.
Menurutnya, kesukaran bermula pada minggu ke-10 kehamilan sehingga saat untuk bersalin dan selepas itu melalui pula pengalaman baru menguruskan semua anaknya.
"Meskipun pada mulanya agak kelam-kabut kerana anak-anak saya akan terjaga selang 10 minit setiap seorang untuk minum susu, tetapi sekarang sudah biasa ditambah pula suami banyak membantu," katanya.
Mereka memperoleh empat bayi sekali gus selepas menjalani rawatan permanian beradas (IUI) di PPUM selepas tiga tahun tidak dikurniakan cahaya mata.
Bagaimanapun, doktor memberitahu bahawa potensi untuk hamil dengan cara itu hanya 10 peratus tetapi dia amat terkejut selepas usia kandungan mencecah lapan minggu apabila dimaklumkan mengandung bayi kembar empat.
Pasangan berkenaan bersyukur dikurniakan empat cahaya mata yang mempunyai karakter berbeza dan kini menjadi penyeri rumah tangga mereka.
Norbazilah dan suami yang menetap di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor terpaksa membawa empat bayi tersebut ke kediaman bapanya, Amin Zainal Abidin, 62, dan ibu, Rohana Sintal, 55, untuk dijaga oleh mereka.
"Saya tidak punya pembantu rumah dan terpaksa membawa semua bayi saya ke kampung supaya ibu bapa saya dapat membantu menjaganya," katanya.