Laporan bedah siasat mendapati paru-paru mayat
legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston mengandungi air,
menurut stau laporan berita semalam. Bagaimanapun, sumber-sumber penguat kuasa
undang-undang menyatakan para pemeriksa perubatan perlu mengetahui secara tepat
berapa jumlah air dalam paru-parunya sebelum kematian penyanyi berkenaan boleh
diputuskan akibat lemas, lapor laman berita hiburan TMZ.com.
Houston ditemui mati di dalam bilik hotelnya di
Hotel Beverly Hilton, California, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu dan beberapa
laporan mendakwa dia ditemui mati di dalam tab mandi. Pihak berkuasa masih
belum lagi menentukan sama ada Houston mati sebelum dia lemas dalam air atau
selepas itu kerana masih ada kemungkinan penyanyi tersebut telah mati sebelum
memasuki tab mandi.
Walaupun, keputusan bedah siasat penyanyi itu
sudah selesai, punca kematiannya tidak boleh ditentukan sehingga keputusan
toksikologi diperoleh yang selalunya mengambil masa di antara empat hingga enam
minggu. Penolong Ketua Koroner, Ed Winter enggan memberi komen lanjut tentang
keadaan bilik atau sebarang bukti yang ditemui oleh para penyiasat, lapor
agensi berita AP.
Winter berkata, tiada tanda-tanda jelas terdapat
trauma pada tubuh Houston malah para penyiasat tidak akan memberikan sebarang
punca kematian sehingga mereka memperoleh keputusan daripada makmal yang akan
diperoleh beberapa minggu lagi.
Pada masa sama, seorang pegawai polis Beverly
Hills, Leftenan Mark Rosen berkata, pihaknya mungkin mendedahkan butiran lanjut
yang diperoleh mengenai kematian Houston namun ia bergantung sama ada para
penyiasat berasa selesa untuk mendedahkan sebarang maklumat.
Pada Sabtu lalu, seorang anggota rombongan
Houston menemui penyanyi tersebut yang tidak sedarkan diri di biliknya di Hotel
Beverly Hilton hanya beberapa jam sebelum dia sepatutnya menghadiri parti
menjelang Anugerah Grammy.
Menurut Rosen, tiada tanda-tanda perbuatan
khianat. Seorang anggota rombongannya mengubungi talian kecemasan 911 sebelum
anggota-anggota paramedik tiba untuk memberikan bantuan bagi menyelamatkan
nyawa Houston di bilik hotelnya tetapi mereka gagal berbuat demikian sehingga
polis tiba.
Houston memang mempunyai sejarah ketagihan dadah
sejak 10 tahun lalu. Dia yang juga penerbit dan bekas model pernah berkahwin
dengan penyanyi blues, Bobby Brown pada tahun 1992 sebelum bercerai pada tahun
2007.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Bobbi
Kristina. Sementara itu, akhbar dalam talian MailOnline melaporkan
Houston yang juga bintang filem ditemui lemas dalam tab mandi akibat
pengambilan ubat penenang melebihi dos dan minuman keras selepas dia menghadiri
parti menjelang Anugerah Grammy.
Antara ubat yang ditemui di biliknya ialah Lorazepam,
Valium, Xanax dan ubat tidur. Ubat-ubat itu dipercayai digunakan sebagai
penenang yang menyebabkan dia tertidur dalam tab mandi sebaik sahaja bercampur
dengan arak dalam tubuhnya. Sebelum kematiannya, Houston kelihatan berpeluh dan
tidak kemas ketika dia meninggalkan kelab malam Tru Hollywood pada malam Khamis
lalu. Dia juga berparti dengan sekumpulan besar rakannya sebelum pulang ke
hotel tempat dia ditemui mati pada Sabtu lalu.