Baru-baru ini, kecoh kononnya pelakon popular, Fasha Sandha telah
bernikah secara senyap di Thailand. Walau bagaimanapun, Fasha telah
tampil menafikan perkara tersebut. Belum pun reda kontroversi kononnya
Fasha akan melangsungkan perkahwinan dengan Jejai di Jakarta, Indonesia,
Mac ini, industri hiburan tempatan digemparkan pula dengan berita
kononnya pelakon drama Cinta Elysa ini telah bertunang.
Gambar yang dipaparkan menunjukkan Fasha sedang disarungkan cincin oleh
seorang wanita. Mesti ramai yang ingin tahu sama ada benarkah calon
Pelakon TV Wanita Popular di ABPBH ini telah bertunang secara rahsia
dengan pasangannya itu. GUA berpeluang bertemu dengan pelakon cantik ini
semalam dan ini jawapannya.
“Ini merupakan salah satu babak yang terdapat dalam filem terbaru Fasha,
‘Penanggal’. Fasha memegang watak sebagai Sharifah Zahrah, seorang
gadis yang periang dan sedang menunggu hari perkahwinannya. Namun,
konflik bermula apabila Sharifah Zahrah telah kehilangan tunangnya, Syed
Yusoff lakonan Azri Iskandar,” ujar Fasha ketika ditemui di lokasi
penggambaran ‘Penanggal’, di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, malam
tadi.
Diusik dengan soalan adakah Fasha akan bertunang dulu sebelum
melangsungkan perkahwinan, Fasha memberitahu, “ Tak kot sebab bila
tunang lagi banyak dugaan.” Menyentuh mengenai impian perkahwinannya
pula, Fasha memberitahu, “Fasha inginkan perkahwinan yang sederhana tapi
diingati. Sebenarnya Fasha tak nak cakap sangat pasal perkahwinan sebab
bosanlah.
“Bila tiba masanya nanti, Fasha akan cakap. Fasha tahu semua orang
sedang menunggu, tapi Fasha masih belum bersedia lagi. Fasha harap
mereka bersabar kerana Fasha memang tak akan buka mulut buat masa ini.
Yang pasti Fasha tak akan buat sidang akhbar namun akan cerita juga pada
semua peminat.”
sumber: gua.com.my