Edisi Agama! Baju renang ikut syarat, syariat!

Oleh Kaki Wayang on


KESUKARAN mencari pakaian renang yang menutup aurat ketika mengikuti kursus berenang adalah titik tolak permulaan perniagaan sampingan Siti Fatimah Hassan, 28. Sejak saat itu, dia berazam untuk memudahkan wanita Islam mencari penyelesaian baju renang yang sesuai untuk mereka.

Siti Fatimah melakukan pencarian menerusi pelbagai pembekal dan memilih yang terbaik serta berkualiti untuk jualannya. Malah perniagaan yang dilakukan secara sambilan kerana masih menuntut di peringkat kedoktoran (PhD) ternyata disambut baik oleh para pelanggan.

"Mengenangkan seronok berniaga membuatkan saya memilih universiti tempatan untuk melanjutkan pelajaran walaupun ada tawaran untuk ke luar negara," jelasnya yang ditemui di lokasi penggambaran Taman Rekreasi Lembah Congkak, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Baju renang muslimah yang ditampilkan Siti Fatimah memang ringkas dan menarik. Malah penggunaan warnanya juga bersifat gelap dan tidak begitu menarik perhatian sebagaimana yang dimahukan oleh kebanyakan muslimah.

"Sejak memulakan perniagaan ini kira-kira tiga tahun lalu saya dapat lihat semakin ramai muslimah ingin memilikinya.

"Kebanyakannya terdiri dari para ibu yang sering menemani anak mandi di kolam renang. Keperluan mengikut syarat pakaian yang dibenarkan membuatkan para ibu memilih pakaian renang ini yang nyata ringkas, selesa dan menepati keperluan syarat pakaian di kolam renang," ujar Siti Fatimah yang memulakan perniagaan melalui Internet.

Menurut Siti Fatimah, potongan baju renang yang dijualnya bersifat slim fit, tetapi dia juga menerima tempahan untuk mereka yang berbadan besar.

"Saiz yang dijual adalah dari S hingga ke XXXL, bagaimanapun potongan saiz ini tidak sama dengan tubuh wanita Malaysia. Justeru saya menyarankan agar pelanggan memberikan butir tentang potongan tubuh, keperluan pakaian supaya mereka tidak tersalah beli, cara ini lebih memudahkan," ujarnya.

Baju renang tersebut diperbuat daripada fabrik jenis spandex dan lycra, malah motif yang digunakan juga lebih sederhana dan tampak profesional. Menurut Siti Fatimah, potongan baju renang juga mudah dipakai kerana ia didatangkan dalam tiga bahagian iaitu baju (meliputi seluar dalam), seluar panjang dan tudung. Bahagian baju juga disertakan skirt untuk penampilan yang lebih sopan.

"Saya melihat trend kebanyakan pelanggan memilih baju renang yang polos atau tiada corak sesuai dengan syarat utama untuk ke kolam renang terutama di hotel lima bintang.

"Kebanyakan pelanggan saya adalah dari orang perseorangan namun ada juga yang menempah untuk persatuan mereka.

"Setakat ini belum ada pelanggan saya memulangkan pembelian, malah mengulang pembelian dan mendapat promosi dari mulut ke mulut," jelasnya yang mendapat tempahan lebih kurang 60 hingga 70 pasang sebulan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...