Tiada siapa tahu akan keperitan penyanyi Alyah yang menanggung
kesakitan demi menjayakan persembahannya di atas pentas Anugerah Juara
Lagu ke-26 (AJL26) pada malam Ahad lalu. Di sebalik paduan vokalnya yang mendayu serta penampilannya yang
menawan bersama busana rekaan Hatta Dolmat, Alyah berperang dengan
kesengsaraan.
Bagi memastikan persembahannya malam itu mantap tanpa
sebarang gangguan, perangkul Anugerah Persembahan Terbaik AJL26 itu
sebenarnya telah mendapatkan suntikan doktor, sehari sebelum majlis
berprestij itu berlangsung.
Semuanya gara-gara dia mengalami demam yang teruk selama
seminggu sehingga dipercayai dapat menganggu konsentrasi serta kualiti
persembahannya pada malam final berkenaan. Dihubungi semalam, Alyah berkata dia terpaksa mendapatkan suntikan
daripada pihak doktor bagi memastikan persembahannya terlaksana.
“Sudah seminggu sebenarnya Alyah demam dan kerana takut suara Alyah
tidak keluar ketika di AJL, Alyah telah meminta doktor supaya memberikan
suntikan.
“Doktor telah bersetuju. Bagaimanapun dia telah memberi tahu Alyah
bahawa suntikan itu akan memberi kesan kepada kesihatan Alyah sehari
selepas suntikan itu diberikan. Jadi mahu atau tidak, terpaksa Alyah
ambil suntikan itu juga,” jelasnya.
Ternyata memang benar.Ketika dihubungi , Alyah kedengarannya agak
sukar mengeluarkan suara, malah juga enggan menjawab sebarang panggilan
kerana mahu berehat.
“Tak mengapalah. Asalkan Alyah tidak mengecewakan peminat ketika
membuat persembahan di AJL. Biarlah Alyah tahan rasa sakit sikit ini.
InsyaAllah demam ini akan sembuh tidak lama lagi,” katanya yang sentiasa
positif.
Bercerita mengenai konsep persembahannya pada malam berkenaan,
penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor itu telah mengeluarkan duit
sakunya sendiri bagi memastikan konsep persembahan yang diimpikannya itu
terlaksana.
Menggunakan khidmat dua selebriti popular, Remy Ishak dan Along Raja
Lawak sebagai kekuatan persembahan Kisah Hati, penyanyi berusia 31 tahun
itu telah menggunakan konsep fairy tale di mana Alyah telah memegang
watak sebagai patung dari kotak muzik.
Dia telah mengeluarkan perbelanjaan melebihi wang kemenangannya
(RM10,000) bagi mendapatkan set pentas yang indah meliputi pentas ala
music box, lampu hiasan dan teknik pencahayaan yang memberangsangkan.
“Alhamdulillah, pihak TV3 banyak membantu merealisasikan impian
Alyah. Tak sanga pula, dalam keadaan kesihatan Alyah yang tidak
mengizinkan dan konsep persembahan yang ringkas itu telah berjaya
membawa kemenangan kategiri persembahan terbaik.
“Ribuan terima kasih juga Alyah ingin ucapkan dengan kehadiran Along Raja Lawak yang telah berjaya membawa watak badut.
“Malah paling Alyah tidak sangka sekali, apabila Remy Ishak telah
bersetuju untuk datang di saat akhir bagi menjayakan persembahan Alyah.
Memang satu kemenangan yang tidak di sangka,” katanya.