ITU teka-teki yang timbul mengenai penyerang prolifik Negara, Safee Sali yang dikhabarkan bakal disunting pasukan Johor. Malah lebih hebat lagi Safee juga dikatakan turut ditawarkan gaji
bulanan bernilai AS$15,000 (RM45,752) oleh Persatuan Bola Sepak Negeri
Johor (PBNJ).
Pengurus Safee Sali, Zakaria Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian
semalam mengesahkan ada menerima tawaran untuk bermain dengan PNBJ, yang
kini dibawah kepimpinan baru kendalian Tunku Mahkota Johor, Tunku
Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
"Safee sendiri akan mengumumkan keputusannya berhubung perkara tersebut
esok (hari ini) di Cilandak Square, Jakarta Selatan, pada pukul 11
pagi.
Apa sahaja yang akan diumumkan atau diputuskan oleh Safee, diharap
semua pihak menerimanya dengan berlapang dada dan seadanya," katanya.
Sekiranya Safee memilih untuk bersama skuad Johor, pemain sensasi
negara itu bukan sahaja mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi
pemain termahal yang pernah di beli PBNJ tetapi sekali gus menjadi
pemain termahal dalam arena bola sepak Malaysia.
Difahamkan, proses perundingan dan perbincangan akan dilakukan dalam
masa terdekat bersama pihak PBNJ bagi membolehkan Safee beraksi bersama
pasukan Jengking dalam perlawanan akan datang.
Pemilihan penyerang berusia 28 tahun itu di jangka dapat memberi
suntikan buat pasukan Jengking yang kini dalam usaha untuk mengembalikan
kegemilangan bola sepak negeri itu selaras dengan tampuk kepimpinan
baru dibawah kendalian Tunku Mahkota Johor.
Dalam perkembangan lain, melalui laman Facebook rasmi Safee semalam,
pengumuman yang berlangsung pagi ini akan merungkaikan segala spekulasi
dan ramalan banyak pihak kebelakangan ini.
Safee sebelum ini menerima tempias dan berkemungkinan tidak boleh
mewakili pasukan kebangsaan Malaysia berikutan kemelut bola sepak
Indonesia kerana pengharaman Liga Super Indonesia (ISL) oleh FIFA
menyebabkan semua pemain, jurulatih dan pegawai yang terlibat dalam liga
profesional Indonesia itu, turut berstatus haram.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin
sebelum ini pernah memberi peringatan kepada Safee agar peka dengan
keadaan semasa yang berlaku dalam ISL demi masa depan kariernya.