Puan Ahmad, seorang warga tua di sini yang berada dalam keadaan
dilema ekoran dikatakan berusia 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan
dalam MyKadnya, berubah wajah semalam apabila mengetahui rupa-rupanya
dia berumur 116 tahun.
Maklumat itu diketahui berdasarkan rekod yang disemak oleh Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) Perlis yang mendapati bahawa warga tua tersebut
sebenarnya telah dilahirkan pada tahun 1896 di Kodiang, Kedah.
Menurut Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, penemuan
tersebut sekali gus menjadikan Puan Ahmad sebagai orang tertua di negeri
ini.
"Saya telah meminta JPN Perlis siasat kes Puan Ahmad dan mereka dapati dia sebenarnya telah dilahirkan pada tahun 1896.
"MyKad Puan tiada kesilapan tetapi sah sebab terdapat tanda '*' pada
hujung nombor tersebut bagi memberi keunikan," katanya selepas melawat
Puan di rumahnya di Kampung Padang Keria, Simpang Empat di sini semalam.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Penolong Pegawai Pendaftaran JPN
Perlis, Mohd. Asri Jaafar yang memberi penerangan mengenai kes
tersebut.
Akhbar semalam melaporkan mengenai seorang warga tua yang memiliki 47
orang cicit tidak sanggup lagi menghadapi dilema mengenai usianya yang
dikatakan hanya 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan dalam MyKad.
Umur Puan Ahmad diambil kira berdasarkan MyKad yang diperolehnya,
beberapa tahun lalu daripada JPN Kuala Nerang, Kedah iaitu
960412-02-0558*. Tanda '*' pada penghujung nombor MyKad tersebut turut
membingungkan warga tua itu.