Dua sahabat cedera parah apabila masing-masing disimbah asid oleh
individu tidak dikenali ketika sedang tidur selepas menonton perlawanan
bola sepak di Kampung Padang Merchang dekat sini semalam.
Kejadian pukul 5.15 pagi itu menyebabkan Mohd. Fazil Hanafi Idrus,
18, melecur teruk di muka, tangan dan kaki manakala rakannya,
Shahrulzaman Salim, 38, melecur di muka dan badan. Mohd. Fazil sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia
manakala Shahrulzaman, seorang nelayan. Mereka kini dirawat di Unit
Kebakaran, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dekat
sini.
Mengimbau semula kejadian itu, Shahrulzaman berkata, pada mulanya dia
tidak menyedari dirinya telah disimbah asid sehinggalah terdengar
jeritan Mohd. Fazil.
“Dalam keadaan mamai saya tanya dia apa yang terjadi sebelum saya
lihat tangannya melecur. Tidak lama selepas itu, baru saya rasa pedih
dan rupanya saya juga telah disimbah asid,” ceritanya sambil memberitahu
empat lagi rakannya yang turut tidur di situ tidak cedera.
Menurut Shahrulzaman, ketika tidur, tingkap rumah itu dibuka kerana
cuaca panas dan percaya individu berkenaan menyimbah asid melalui ruang
tersebut yang setinggi kira-kira dua meter.
Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Mohd. Hamizi Hussin, 29,
memberitahu, rumahnya sering dijadikan tempat melepak oleh
rakan-rakannya setiap hari sambil menonton perlawanan bola sepak. Katanya, ketika kejadian terdapat enam rakannya bermalam di situ manakala dia keluar menghantar pekerja kilang di Chendering.
“Saya terus pulang sebaik dihubungi rakan dan membawa mereka yang
cedera ke Klinik Kesihatan Merchang. Tilam turut terhakis terkena asid
serta terdapat bau masam di dalam rumah,” katanya. Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa mengesahkan kejadian yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu.
P/s: Bahaya kan bila kejadian macam ni boleh berlaku..