Penyanyi Ziana Zain nampaknya buat pendedahan ‘berani mati’ dalam
portal hiburan Murai.com apabila mengaku meneriman suntikan kolagen pada
Ogos lalu pada beberapa tempat tertentu di wajahnya.
“Memang saya mendapatkan suntikan wajah. Tapi bukan botox
sebaliknya kolagen. Mungkin sudah tiba masanya saya mendapatkan rawatan
wajah seperti ini memandangkan usia saya yang semakin meningkat.
“Tambahan pula, dengan kerjaya saya di dalam bidang hiburan,
memang memerlukan saya kelihatan cantik serta segar sentiasa dan rasanya
dalam usia saya yang mencecah 45 tahun, inilah masa yang paling
sesuai,” katanya tanpa berselindung.
Sedar kecantikannya semakin dimamah usia, Ziana Zain bagaimanapun
memilih sikap berhati-hati sebelum mendapatkan suntikan tersebut kerana
gusar sekiranya memberi kesan sampingan bukan saja kepada raut wajahnya,
malah juga kesihatan. Jelas Ziana, dia mengambil masa yang agak lama untuk yakin dengan
suntikan kolagen, meskipun beberapa individu yang rapat dengannya
termasuk doktor kosmetiknya dan adiknya Anuar Zain, telah lama
menasihatinya untuk mendapatkan suntikan berkenaan.
“Saya sedar, pada zaman sekarang ramai wanita yang berusia 20-an pun sudah berani membuat suntikan, tetapi tidak buat saya.
“Sebelum membuat suntikan, saya terlebih dahulu banyak
membaca berkenaan kelebihan serta keburukan suntikan kolagen termasuk
juga jenis-jenisnya. Ada yang datang dari kategori A, B, C dan saya
bukannya suka-suka mengambilnya.
“Saya perlu tahu kandungan di dalam kolagen. Bagaimana ada
sesetengah individu yang telah mendapat kesan yang berbeza. Ada juga
yang tidak menjadi apabila suntikan itu dikenakan pada wajah mereka.
Semua itu saya perlu ambil tahu puncanya.
“Malah selepas menerima suntikan ini tahun lalu, saya
menunggu beberapa bulan untuk melihat kesannya dan selepas saya tahu
kesannya sangat baik buat saya, barulah saya berani bercerita
mengenainya kepada orang luar seperti sekarang,” katanya
bersungguh-sungguh.
Tidak perlu terbang jauh ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan
suntikan berkenaan, sebaliknya percaya dengan kebolehan doktor pakar
kecantikan tempatan yang ditemui di ibu negara. Tidak perlu juga berbelanja ratusan ribuan ringgit, terang Ziana
Zaian, suntikan yang diambilnya itu dibayar pada harga sangat
berpatutan, apatah lagi kesannya akan kekal untuk jangkamasa dua tahun
lamanya.
“Saya tidak mensyorkan kepada sesiapa, tetapi cukuplah saya
katakan tepuk dada tanyalah selera. Saya tahu apa yang saya lakukan dan
saya rasa suntikan kolagen ini sudah biasa diamalkan dalam kehidupan
masa kini.
“Jadi saya tak rasa ianya akan menjadi perkara besar bila
saya menggunakannya. Alhamdulillah selepas menggunakannya wajah saya
tampak segar, kulit muka saya kembali tegang dan ianya nyata telah
mengembalikan keremajaan saya.
“Tidak bermakna pula saya melupakan rawatan tradisioanl lain
kerana bagi saya ianya tetap penting bagi penjagaan dalaman. Jika anda
berusia 40-an barulah anda faham kepentingannya. Apa yang penting saya
lebih berkeyakinan,” katanya.
Baik, penulis bukan nak jatuh hukum pada Ziana cuma tertanya-tanya
juga, selain daripada mendapat rujukan daripada pakar kecantikan, adakah
dia juga membuat rujukan dengan pakar agama? Maklumlah, dalam apa juga yang kita buat, perkara-perkara sebegini kita tidak boleh ambil mudah.
Islam tidak melarang manusia itu atau umatnya untuk kelihatan cantik,
namun perlu mengikut garis panduan yang dibenarkan di dalam Islam. Ini dibuktikan dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang
bermaksud: “Sesungguhnya Allah ini Maha Indah dan Maha Cantik dan Allah
suka yang indah-indah dan yang cantik-cantik.”
Malah, tidak salah di dalam Islam kita berikhtiar untuk menjaga
wajah, kesihatan, penampilan diri tetapi biarlah dengan kaedah
dibenarkan di dalam Islam. Ada pendapat mengatakan yang hukum menyuntik bagi membolehkan wajah
kelihatan cantik bergantung kepada isi kandungan cecair berkenaan. Kalau
bahannya halal, dibolehkan, kalau bahannya haram maka tak bolehlah.
Apapun penulis tertarik dengan ketetapan ini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Soalan
apakah hukum menggunakan suntikan vitamin C dan collagen untuk kecantikan?
Jawapan
Apa-apa suntikan yang bertujuan untuk kecantikan adalah dilarang oleh
syara’.
syara’.
(boleh rujuk http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/1560)
Nampaknya jelas, sesuatu yang mengubah kejadian Allah, jelas diharamkan di dalam Islam. Bagaimanapun jika ia tidak mengubah bentuk muka seseorang itu tetapi
lebih kepada merawat wajah seperti dari kusam kepada lebih sekata rona
muka si pemakai tersebut, maka ia dibenarkan. Untuk menjadi cantik tidak salah di sisi Islam cuma apa pun yang dilakukan adalah berdasarkan kepada niat seseorang. Contohnya seorang isteri sudah pastinya apabila dia memakai produk
kecantikan, niatnya adalah untuk menambat hati suami, supaya suami
tambah sayang dan juga mungkin niat untuk keyakinan diri, itu sudah
jelas dibenarkan di dalam Islam.
Namun jika ia diniatkan yang sebaliknya seperti untuk menarik
perhatian orang lain, berbangga diri itu telah bercanggah dengan Islam. Apatah lagi, timbul riak dalam diri apabila terlalu dilambung-lambung dengan pujian.
Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW, bahawa orang yang riak dan sombong, mereka tidak akan masuk syurga. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. seharusnya diambil perhatian oleh
semua umat Islam tidak kira wanita mahupun lelaki dalam menilai soal
kecantikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak
melihat seseorang itu kepada wajah, paras rupanya dan juga harta benda
tetapi yang Allah lihat ialah hati dan amalannya.
Apa gunanya wajah yang cantik tetapi hatinya penuh dengan sifat hasad dengki dan sebagainya. Jadi sama-samalah kita fikir-fikirkan.
Wallahualam.