Seorang lelaki kelahiran Sabah
membelanjakan setengah juta ringgit bagi membina rumah terbalik pertama
di Malaysia yang menyampaikan mesej alam sekitar. Alexander Yee berkata, struktur rumah
luar biasa yang terletak di Kampung Bantayan-Telibong, kira-kira 40
kilometer dari bandar itu amat berbaloi.
“Jika kita terus mengeksploitasi sumber semulajadi secara berterusan, lambat laun kita akan melihat dunia ‘terbalik’ (musnah),”
kata Yee yang memiliki firma binaan selain mengusahakan rumah
penginapan untuk pelancong di taman hidupan liar daerah Kinabatangan di
pantai timur Sabah.
Yee menunjukkan rumah yang berkeluasan
140 kaki persegi itu dilengkapi dengan kemudahan lengkap termasuk ruang
tamu, bilik mandi, ruang makan dan juga dapur yang mempunyai ciri-ciri
tradisional Sabah.
Dia berkata, semuanya diletakkan secara
terbalik dan ini termasuk peti sejuk, dapur memasak dan periuk nasi di
dapur serta mesin jahit. Pembinaan rumah terbalik itu mengambil
masa hampir enam bulan melibatkan bumbung, dinding dan lantai yang
diperkukuhkan dengan hiasan dalaman yang membuatkannya seperti
tergantung.
Yee berkata, pengunjung boleh melawat rumah terbalik itu. Bayaran masuk berharga RM18 bagi orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun. Bagi mereka yang mempunyai MyKad boleh mengunjungi rumah terbalik itu dengan bayaran RM10.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat
lanjut mengenai rumah terbaik Yee di laman sosial Facebook yang dibuka
untuk rekaan terbaru itu.