“Berdasarkan pemantauan, terdapat tiga atau lebih pusat hiburan
beroperasi secara terbuka yang menyajikan persembahan ala ‘live band’. “Ini termasuk penjualan arak berleluasa kepada pengunjung,” katanya, ketika operasi pemantauan di sekitar Pantai Chenang.
Abdul Rahin berkata, operasi bermula 11 malam dan berakhir sekitar jam 1
pagi itu dilakukan setiap minggu membabitkan kawasan Pantai Chenang
sepanjang hampir dua kilometer. Menurutnya, hasil pemantauan juga mendapati sebuah kelab yang agak
‘ekstrem’ dipenuhi ramai pengunjung sebahagian besar adalah pelancong
asing berkumpul di kawasan pantai.
“Ada antara mereka adalah masyarakat tempatan terdiri daripada anak-anak muda. Kami bimbang mereka terikut budaya Barat. “Perkara ini perlu dibendung kerana gejala sosial kian menjadi-jadi
terutama penggunaan arak kalangan remaja dan belia,” katanya.
Abdul Rahin turut melahirkan kebimbangan kemungkinan pusat hiburan
terbabit dipengaruhi aktiviti bahan terlarang seperti pil ecstacy secara
tersembunyi. Katanya, pihaknya memohon pihak berkuasa memantau segera agar gejala
itu supaya tidak mengganggu kehidupan masyarakat setempat, selain
mencemar imej Langkawi sebagai pulau pelancongan.
Menurutnya, penjualan minuman keras didakwa berleluasa dan pihaknya
kecewa serta khuatir tiada pantauan secara berkesan menyebabkan ada
pengusaha pusat hiburan menjalankan perniagaan itu hingga lewat pagi.