Permintaan yang tinggi untuk khidmat seks mendorong sindiket yang
menguruskan kemasukan wanita dari China mengaut keuntungan besar dengan
mengenakan bayaran purata RM10,000 seorang untuk membantu mereka menjadi
pelacur atau pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang memberi khidmat
seks di Malaysia.
Sindiket tersebut mengumpul kekayaan dengan cara mudah memandangkan
wanita China adalah kumpulan pelacur yang paling ramai ditahan dalam Ops
Noda yang dijalankan oleh pihak polis di seluruh negara sepanjang tahun
lalu. Mengikut statistik Polis Bukit Aman, daripada 11,832 warga asing yang
ditahan sepanjang tahun lalu, wanita China membentuk jumlah terbesar
sebanyak 5,922 orang. Secara purata 16 orang wanita China ditangkap
setiap hari.
Jika kesemua wanita China itu menggunakan khidmat sindiket dan
membayar RM10,000 seorang, bermakna hasil kutipan organisasi haram yang
menguruskan kemasukan pelacur negara berkenaan ke Malaysia adalah
sebanyak RM59.2 juta.
Menurut sumber Kosmo! Ahad, wang tersebut dibayar bagi membiayai kos penerbangan, makanan dan tempat tinggal semasa berada di Malaysia.
Sebaik tiba di sini, wanita-wanita China itu akan disambut oleh
ejen-ejen sindiket yang menguruskan segala keperluan termasuk mencari
pelanggan. Sumber itu memberitahu, terdapat juga wanita China yang telah
melangsaikan hutang kepada sindiket dan pulang ke negara asal mereka
sebelum memasuki semula Malaysia secara solo. Biarpun pihak berkuasa khususnya Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan
Perjudian (D7) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguat kuasa
kerap melakukan operasi, kegiatan tidak bermoral itu semakin berleluasa
serta menjadi penyumbang kepada masalah sosial di negara ini.