Edisi Sentap! Lancang Dang Suria bersebab!

Oleh Kaki Wayang on



SESI uji bakat On Air telah dilakukan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching, Sarawak. 

'DANG SURIA memang berani, dia jujur berkata benar dan tidak mahu memberi harapan palsu kepada peserta,' itu luahan peribadi Aznil Nawawi berhubung kontroversi yang tercetus gara-gara komen-komen Dang Suria yang dianggap bermulut lancang selaku juri pencarian peserta uji bakat On Air.

Khamis lalu, nama pengacara popular, Dang Suria Zainordin tiba-tiba memuncak dan menjadi bahan cemuhan penonton serta peminat yang menyaksikan episod pengenalan On Air. Ia disiarkan setiap Rabu, 9 malam di saluran Astro Ria bermula 1 Februari lalu.

Sebaik tamat siaran, penonton yang menyaksikan episod pengenalan kedua On Air semasa pencarian di Johor Bahru itu mula naik marah. Masing-masing menggunakan saluran Facebook, Twitter serta blog-blog mengecam pendekatan Dang Suria yang dianggap kasar, biadab serta mengkritik peserta hanya bersandarkan rupa paras dan penampilan fizikal.

Paling menyakitkan hati umum apabila Dang Suria menggunakan perkataan gemuk dan muka tidak kacak yang tidak sedap didengar ketika mengkritik penampilan peserta.

Selaku ketua juri serta mentor program pencarian bakat pengacara berkenaan, Aznil sendiri diminta memberi penjelasan.

Dang Suria dikecam para penonton akibat komen-komennya yang dianggap sangat negatif, anda sendiri berpendirian bagaimana?

AZNIL: Bila Dang Suria beri komen pasal gemuk dan tidak kacak, ia tidak habis di situ, tapi disunting maka jadilah seolah-olahnya Dang Suria hanya beri komen sebegitu sahaja. Itulah yang dikatakan program realiti. Apa jua implikasinya, saya yakin Dang Suria cukup sedar dengan setiap patah perkataan yang digunakan, dia sangat bersedia dengan impak yang sedang dihadapinya. Jika Dang dilihat hanya beri komen tentang penampilan sahaja, itu bukan silap dia, memang tugas Dang hanya komen aspek penampilan sebab saya sendiri akan nilai secara umum manakala Shuhaimi Sulaiman pula menilai tahap pemikiran peserta.

Pandangan anda terhadap penonton yang marahkan Dang Suria?

Penonton tempatan masih berada dalam situasi menafikan realiti. Mereka menidakkan sesuatu yang sebenarnya mereka sedari. Ada yang bagi contoh Oprah Winfrey boleh jadi terkemuka sedangkan fizikalnya gempal, tetapi itu sekarang walhal pada awal kerjaya beliau Oprah ialah seorang gadis yang sangat cantik. Mahu atau tidak, penonton tetap akan melihat penampilan dahulu. Sebab itulah On Air meletakkan syarat permohonan penampilan menarik yang membawa maksud kacak atau cantik.

Kontroversi pasti ada pro dan kontranya?

Ya. Saya lihat, positifnya On Air sedang diperhatikan, dinanti-nantikan dan mula diperkatakan. Sebagai program ciptaan baharu, On Air dapat lepasi tahap kebiasaan program-program sedia ada. Dari sudut lain pula, rasanya komen-komen lepas geram penonton di FB, Twitter serta blog-blog internet itu sebenarnya lebih celupar dan tidak bermoral malah lebih mengaibkan orang lain berbanding komen Dang Suria sendiri.

Jadi, adakah apa yang berlaku itu strategi atau gimik untuk tarik perhatian dan rating program?

Saya cuma boleh katakan: Teruskan menonton sebab banyak lagi kejutan yang akan kami tampilkan. Di hujung pencarian nanti, bukan rupa sahaja yang dinilai, ada yang berbadan gempal, gadis bertudung turut terpilih. Akhirnya On Air tetap akan cari bakat yang besar kalau sekadar cantik atau tampan tapi tanpa bakat, mereka tetap disingkirkan.

Bagaimana pula seandai gimik sepanjang pencarian ini akan membuatkan penonton meluat dengan On Air?

Saya tak fikir begitu sebab akan ada banyak emosi dan faktor yang akan membuatkan penonton jatuh cinta dengan On Air, akan ada klip-klip kehidupan peserta yang dekat dengan penonton akan kami paparkan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...