Keseluruhan kakitangan di sekolah di bandar raya ini digantikan
ketika polis melakukan siasatan skandal penderaan seks membabitkan
seorang guru yang didakwa memberi air maninya kepada kanak-kanak semuda
enam tahun.
Tindakan itu dibuat ekoran kebimbangan ibu bapa terhadap kes itu cuba
ditutup, selain cuba memahami mengapa polis mengambil masa lebih
setahun untuk menahan Mark Berndt, guru berusia 61 tahun yang mengajar
di sekolah rendah Miramonte di timur Los Angeles itu. Berndt didakwa
mengambil gambar 23 kanak-kanak yang ditutup mata dan mulut dengan lipas
di wajah mereka serta sudu berisi air mani di mulut mereka antara 2005
dan 2011. Lebih 40 gambar milik suspek diserahkan kepada pihak
berkuasa oleh individu yang memproses filem berkenaan pada Januari tahun
lalu, tetapi Berndt hanya ditahan minggu lalu dan didakwa atas 23
pertuduhan jenayah.
Guru tambahan sekolah itu, Martin Springer, 49,
didakwa kelmarin kerana melalukan perbuatan tidak sononoh terhadap
seorang kanak-kanak dalam tempoh tiga bulan pada 2009, lapor CNN. Murid
dan ibu bapa berarak ke sekolah itu kelmarin untuk melakukan
demonstrasi membantah keputusan menggantikan semua guru, manakala
sesetengahnya mengutuk apa yang dikatakan mereka “Kes itu cuba ditutup”
sambil mengutarakan “Siapa lagi yang kami boleh percaya?”
Pegawai
tinggi pendidikan Los Angeles, John Deasy berkata, sekolah berkenaan
akan ditutup hingga hari ini apabila semua kakitangan seramai 150 orang -
guru, kakitangan pentadbiran, setiausaha dan pengawal keselamatan akan
digantikan oleh senarai kakitangan baru. Kakitangan yang didapati tidak
terbabit dengan kes penderaan itu kemudiannya akan dikekalkan, lapor LA
Times sambil menambah Springer dan Berndt saling mengenali dan membawa
murid untuk aktiviti luar sekolah bersama sekurang-kurangnya dua kali.