Edisi Hangat! Malaysia Layak Ke Pusingan Akhir Piala Thomas Kalahkan India 3-0!

Oleh Kaki Wayang on

Muhd Hafiz Hashim
SELEPAS dua perlawanan, aksi Muhd Hafiz Hashim akhirnya menjadi dan kemenangannya memberi makna besar apabila membantu skuad Piala Thomas negara mara ke separuh akhir sekali gus memastikan tiket beraksi di pusingan akhir temasya berprestij itu di Wuhan, China, Mei ini. Sumbangan mata ketiga daripada Hafiz ketika skuad negara menang 3-0 ke atas India cukup melegakan kerana peminat tidak perlu terus menahan debaran menanti kemenangan hingga ke detik penentuan perlawanan kelima.

Kapten Piala Thomas, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan mata pertama namun dipaksa bertarung ke tiga set ketika berdepan Ajay Jayaram. Biarpun cemerlang menang 21-12 dalam set pertama, Chong Wei gagal mengekalkan momentum set kedua apabila tunduk 17-21.

Menyedari tanggungjawabnya cukup besar dalam memastikan kemenangan skuad negara, Chong Wei mengotakan janji untuk menghadiahkan mata dalam setiap perlawanan apabila menang 21-18 dalam set penentuan.

Lega dengan kemenangan Chong Wei, beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turun tanpa tekanan ketika menewaskan Rupesh Kumar-Sanave Thomas. Mereka menang 21-14 pada set pertama, bagaimanapun hampir dikejutkan dengan kebangkitan pemain lawan dalam set kedua.

Selepas mendahului 5-3, gandingan negara ketinggalan 7-13 sebelum mengejar 15-16. Menyedari janji untuk tidak leka lagi, Kien Keat-Boon Heong menamatkan set kedua 23-21 bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Hafiz yang tewas dalam dua perlawanan peringkat kumpulan bermain dengan baik meskipun mendapat tentangan sengit Kashyap Parupali. Selepas menang 21-17 dalam set pertama, juara Seluruh England 2003 itu tewas 18-21 dalam set kedua. Mungkin tidak mahu lagi menyesal menjadi punca kekalahan skuad negara, Hafiz tampil dengan permainan bertenaga dalam set ketiga apabila mudah mengatasi Kashyap 21-11.

“Akhirnya saya menyumbang mata buat skuad negara, saya cukup lega,” kata Hafiz. “Paling menggembirakan mata ini adalah mata kemenangan sekali gus melayakkan pasukan ke pusingan akhir.” Kemenangan ini membolehkan skuad negara beraksi di separuh akhir menentang Jepun.

Tiada lagi tekanan perlu ditanggung kerana misi layak ke pusingan akhir sudah tertunai. Kini tiba masanya untuk pemain muda mengambil giliran menunjukkan yang mereka mempunyai masa depan dalam sukan ini sambil Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong boleh berehat bagi membuat persiapan ke kejohanan Seluruh England bulan depan.

Ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek berkata, mereka tidak akan menurunkan barisan terkuat menentang Jepun hari ini.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...