Penyanyi Awi Rafael, 26, sedang dalam proses menjalani rawatan membuang tatu yang dilukis pada tubuhnya melalui kaedah perubatan Islam. Awi berkata, proses berkenaan telah dilakukan sejak setahun lalu sebelum gambarnya bertatu tersebar di Internet baru-baru ini.
“Sebelum gambar saya tersebar lagi memang saya sudah buat proses membuang tatu tersebut menerusi rawatan secara Islam. “Bagaimanapun ia adalah proses yang memerlukan kos tinggi selain memakan masa,” ujarnya.
Baru-baru ini Awi membuat pengakuan melalui Facebook miliknya dengan mengesahkan gambar lelaki bertatu seperti yang tersebar di Internet dan diperkatakan umum itu adalah dirinya. Dalam pengakuan berkenaan Awi yang popular dengan lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu benar-benar menyesal dengan perbuatan tersebut yang dilakukan pada zaman remajanya tanpa memikirkan kesan pada hari ini. Dalam pada itu, Awi berkata penyebaran gambar itu memberi hikmah besar kepadanya apabila banyak pihak tampil untuk membantunya membuang tatu berkenaan.
“Ramai ustaz yang menjalankan rawatan tradisional secara Islam menawarkan khidmat mereka selain melalui kaedah moden. “Saya sangat terharu. Walaupun sedih pada mulanya kerana gambar itu tersebar tetapi ia mempunyai hikmah besar di sebalik kejadian tersebut,” ujarnya.
Jelas Awi, para peminatnya juga turut memberikan sokongan dan sentiasa mendoakan perkara-perkara baik untuk dia.
“Alhamdulillahlah, sokongan mereka membuatkan saya ingin terus memperbaiki diri dan mempelajari bahawa jika kita buat sesuatu kesilapan kita harus mengakuinya dan belajar daripadanya,” katanya.
Sementara itu, Awi berkata, walaupun namanya tercalar akibat insiden itu, tawaran mengadakan persembahan masih lagi diterimanya dan dia amat bersyukur kepada Allah yang melimpahkan rezeki.
“Siapa sangka apabila kita ditimpa musibah, rupa-rupanya ia turut disulami dengan perkara baik dan rezeki. Saya sangat bersyukur,” ujarnya.