Seperti remaja normal, Gemma Barker kelihatan meminati kumpulan
penyanyi lelaki, gemar siri televisyen dan mengimpikan hidup sebagai
pelakon. Namun, di sebalik penampilan sopan itu, remaja berusia 19 tahun
berkenaan menjalani hidup songsang yang mendorongnya menyamar sebagai
lelaki semata-mata untuk bercinta dengan dua teman wanita yang
memberahikannya.
Melalui helahnya itu, Gemma tampil sebagai remaja lelaki supaya dapat berasmara dengan dua mangsanya - masing-masing berusia 15 dan 16 tahun. Gemma memiliki tiga identiti palsu, iaitu Aaron Lampard, Connor McCormack dan Luke Jones. Menurut sumber, Gemma memperdaya mangsanya dengan bercakap dan berkelakuan seperti budak lelaki.
Dia juga sering memakai pakaian longgar dan bertopi bagi melindungi bentuk fizikal sebenarnya. “Gemma membuka akaun Facebook menggunakan identiti Lampard, McCormack dan Jones dengan setiap satu menampakkan personaliti tersendiri,” katanya.
Sumber melaporkan, Gemma mengelirukan semua rakan dan keluarganya dengan menampilkan diri sebagai tiga remaja lelaki berbeza. “Mangsa digoda walaupun kedua-dua mereka belajar di sekolah sama,” katanya.
Akhirnya penyamaran Gemma terbongkar apabila mangsa itu mengesyaki mereka berkongsi ‘teman lelaki.’ “Seorang daripada mereka membuka topi Gemma ketika dia tidur dalam bilik dan menyedari ‘lelaki’ terbabit adalah orang yang sama dikenali sebagai Lampard dan bercinta dengan rakan mangsa,” katanya.
Polis kemudian menahan Gemma kerana disyaki melakukan serangan seksual.