Luis Suarez memohon maaf kepada Patrice Evra kerana keengganan
berjabat tangan dengan pertahanan Manchester United itu dalam perlawanan
Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu, malah dia turut ditegur oleh
kelabnya yang berusaha untuk menjernihkan kekeruhan.
Pengurus United, Alex Ferguson sebelum ini menyifatkan tindakan
Suarez sebagai sesuatu yang mengaibkan, sementara Ketua Persatuan Bola
Sepak Profesional, Gordon Taylor menegur tingkah laku bintang Liverpool
itu sebagai tidak menghormati dan memalukan.
Suarez akhirnya melahirkan rasa kesal terhadap tingkah lakunya sendiri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
"Saya ada bercakap dengan pengurus (Kenny Dalglish) sejak perlawanan
di Old Trafford dan saya sedar yang saya telah melakukan kesilapan.
"Saya tidak sewajar membuatnya kecewa, begitu juga dengan kelab. Saya
mohon maaf. Saya melakukan kesilapan dan saya menyesal dengan apa yang
berlaku.
"Saya sepatutnya menyambut salam Patrice Evra sebelum perlawanan bermula dan saya mahu meminta maaf di atas tindakan saya itu.
"Saya juga mahu melupakan isu ini dan memberi tumpuan kepada bola sepak," kata Suarez menerusi laman web rasmi Liverpool.
Tindakan Suarez terhadap Evra dan keengganan pengurus Reds,
Dalglish mengulas tingkah laku pemainnya itu sebaik tamat perlawanan
mendorong pemilik kelab, John Henry memohon maaf kepada semua pihak.