BERKAT 12 Rabiulawal sempena kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad
SAW, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, 27, membawa arus perubahan besar
dalam hidup dan kerjayanya dengan tampil bertudung.
Selepas mengejutkan banyak pihak menerusi pengumuman majlis
perkahwinannya dengan seorang jejaka kelahiran Selangor, Ahmad Aznaim
Abdullah atau dikenali sebagai Naim, 30, gadis yang menggunakan nama
pentas Ana Raffali itu sekali lagi membuka mata ramai terutama
peminatnya.
Melangkah setapak lebih dekat dengan tanggungjawabnya sebagai
khalifah di muka bumi, Ana yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio
Utusan, Jalan Chan Sow Lin, semalam mengakui dia kini merasakan dirinya
lebih dekat dengan Maha Pencipta.
"Saya tak melihat pemakaian tudung sebagai satu imej atau trend, ini
merupakan pelaksanaan tanggungjawab saya. Sebagai seorang wanita
beragama Islam, tidak salah untuk saya mendekatkan diri dengan ajaran
agama yang memayungi saya sejak dari kecil," ujarnya.