MAYAT Jian Min (gambar kecil) terbaring selepas dikatakan
terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Lintang Paya Terubong,
George Town semalam.
Pergaduhan sepasang suami isteri yang dikatakan berpunca akibat
kehadiran orang ketiga berakhir selepas suri rumah terbabit ditemui maut
setelah terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Lintang Paya
Terubong, Air Itam di sini semalam.
Mangsa, Qie Jian Min, 37, yang merupakan seorang warganegara China
dijumpai dalam keadaan terbaring tanpa kesan darah di tepi bangunan
berkenaan kira-kira pukul 1.10 pagi.
Pada masa yang sama, hasil pemeriksaan polis di rumah mangsa pula
mendapati suaminya yang ingin dikenali sebagai Ah Hin, 44, berada dalam
keadaan tidak sedarkan diri di atas katil bilik tidurnya dengan kesan
darah dipercayai dikelar isterinya menggunakan sebilah pisau.
Jian Min maut selepas dikatakan cuba melarikan diri melalui tingkap
rumahnya sebelum tergelincir dan terjatuh dari bangunan setinggi 28.5
meter.