Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas berdepan satu ujian sukar dalam
karier pada pertemuan kalah mati pertama Liga Juara-Juara menentang
Napoli awal pagi esok. Selain misi peribadi untuk menyelamatkan kariernya, Villas-Boas turut
berdepan ujian penting untuk menggembalikan semula kegemilangan skuad
The Blues musim ini.
Pada perlawanan tersebut, tumpuan sudah pasti terarah kepada Villas-Boas di tepi padang selepas rakan sejawatannya di Napoli, Walter
Mazzarri menjalani penggantungan dan hanya dibenarkan memberi arahan
dari tempat duduk penonton sahaja.
Selepas hanya mencatat dua kemenangan daripada 10 perlawanan
terakhir Liga Perdana England, Chelsea perlu menewaskan Napoli bagi
mengembalikan semula keyakinan pasukan itu selepas seri 1-1 dengan
Birmingham City di pusingan kelima Piala FA, Sabtu lalu.
Spekulasi pula bertiup kencang mengatakan Villas-Boas mungkin dipecat sekiranya tewas kepada Napoli.
“Anda perlu kekuatan mental tambahan untuk mendapatkan keputusan yang
baik. Hanya kemenangan boleh membantu untuk keluar daripada saat buruk
ini,” kata Villas-Boas.
Ditanya kenapa beliau fikir Chelsea boleh menang di San Paolo,
Villas- Boas berkata: “Ini adalah bola sepak. Kadangkala ia boleh
berlaku sebaliknya kerana Napoli kuat dan kami juga kuat.”
Bagaimanapun, Chelsea dijangka turun tanpa ketua pasukan, John Terry yang masih cedera.