Hati saya terguris menonton selamat pagi Malaysia pada 11 Jan 2012
jam 8 pagi. Tajuknya 'Takdir Ayah Tua.' Teringat saya beberapa tahun
lalu saya membawa pelajar dan Persatuan Wanita Universiti Kebangsaan
Malaysia (Sukmanita) ke rumah orang tua Cheng di Melaka.
Masih saya ingat seorang ibu tua yang kami temui duduk di tepi pintu
biliknya, berpakaian lengkap dengan sebuah beg. Bila saya tanya dia
hendak ke mana, wanita tua itu menjawab: "Tunggu anak. Dia kata nak
datang ambil."
Bila saya tanya pegawai bertugas, mereka kata wanita itu ditinggalkan
oleh anaknya di rumah orang tua itu dengan janji akan mengambilnya
kembali. Setiap hari orang tua itu akan menunggu anaknya dan kini sudah
bertahun.
Sedihnya melihat keadaan orang tua di rumah-rumah kebajikan. Mereka
bukan tiada waris tetapi waris sudah tidak mahukan mereka. Betul kata
orang tua-tua, ibu bapa boleh jaga 10 anak, tetapi 10 anak tidak
semestinya boleh menjaga seorang ibu atau bapa atau kedua-duanya.
Semua ini berkait rapat dengan perkahwinan kerana apabila berkahwin, dengan takdir Allah kebanyakan kita dikurniakan zuriat.
Zuriat adalah penyambung ummah, generasi yang akan berkembang biak menegakkan Islam di muka bumi ini.
Semua pasangan yang berkahwin inginkan zuriat dan ramai selepas
beberapa tahun berkahwin dan tidak mendapat zuriat, merasa malu, rendah
diri dan sedih.
Daripada trend mempunyai anak ramai seperti lapan ke 12 aorang
generasi hari ini memilih untuk hanya mempunyai dua ke empat anak
sahaja. Menonton 'Takdir Ayah Tua' menguatkan keyakinan saya bahawa 10
anak belum tentu boleh menjaga ayah dan ibunya.
Pada kebiasaannya tanggungjawab menjaga ibu bapa diletakkan di bahu
anak perempuan kerana ibu terutamanya tidak selesa duduk dijaga menantu.
Ibu bapa juga lebih selesa tinggal sendiri atas alasan tidak mahu
menyusahkan anak. Sebagai anak, mereka mesti ingat bahawa ayah adalah
wali mutlak iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap diri dan harta
anak sehingga anak lelaki mencapai umur baligh dan sehingga anak
perempuan bersuami dan syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki
ibunya.
Anak mesti sentiasa ingat kepada firman Allah yang bermaksud: Bersyukurlah kepada Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibu bapamu. (Luqman: 14)
Sebenarnya firman Allah mengenai ibu bapa sangat jelas maksudnya. Antaranya:
* Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik
kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat… (an-Nisa': 36)
* Dan katakanlah: "Kasihanilah ibu bapaku sebagaimana mereka telah
mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecilku. (al-Israk: 24)
Jika dilihat kepada ayat-ayat ini, Islam meletakan kedudukan ibu bapa
di tempat yang amat tinggi dan jika anak-anak durhaka kepada
ibubapanya, maka dia akan masuk neraka.
Ketaatan, belas kasihan serta kasih sayang terhadap ibu bapa adalah
tanggungjawab anak kepada ibubapanya. Dalam sudut undang-undang
perkahwinan Islam, konflik ibu bapa dan anak timbul terutama dalam isu
pemilihan calon isteri atau suami.
Anak-anak melihat hukum Islam yang mewajibkan suatu pernikahan anak
perempuan hanya boleh dilakukan oleh wali atau dengan kebenaran wali
seperti dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang berbunyi:
Perkahwinan hendaklah diakadnikahkan oleh:
a) Wali di hadapan pendaftar;
b) Wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran pendaftar; atau
c) Pendaftar sebagai wakil wali;
d) Wali Hakim
Perkahwinan tanpa persetujuan wali adalah tidak sah. Dalam sebuah
hadis: Daripada Aisyah r.a. daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak
sah nikah melainkan dengan berwali".
Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata: telah bersabda Rasulullah SAW:
"Tidak boleh perempuan mengahwinkan perempuan, dan tidak boleh pula
perempuan mengahwinkan dirinya sendiri."
Memang wujud perbezaan pandangan mazhab terhadap isu wali namun di
Malaysia menurut Mazhab Shafie, perkahwinan hendaklah diijabkan oleh
wali atau oleh wakil wali dengan kebenaran wali.
Jika bapa enggan menjadi wali, maka anak perempuan boleh membuat
permohonan kepada Mahkamah Syariah di bawah peruntukan wali ingkar di
mana wali perlu menerangkan kenapa dia tidak bersetuju dengan pilihan
anaknya.
Utusan Malaysia