PARTI anjuran seorang bintang siri TV popular, Glee telah menimbulkan
kekecohan sehingga menjadi kes polis. Namun, bintang Glee yang mana
satukah yang buat hal kali ini?
Pihak polis dilaporkan telah menyerbu kediaman pelakon watak Finn
Hudson dalam Glee iaitu aktor Cory Monteith yang terletak di Hollywood
Hills pada pukul 4.30 pagi, 5 Februari lalu selepas menerima laporan
daripada jiran-jirannya yang tidak tahan dengan bunyi bising melampau
sehingga mengganggu ketenteraman mereka.
Menurut laporan contactmusic, aktor berusia 29 tahun itu yang tinggal
bersama seorang rakannya di rumah tersebut telah bersetuju untuk
menamatkan parti anjurannya yang turut dihadiri sebahagian besar
rakan-rakan gandingannya dalam Glee.
Ujar sumber: "Cory dan rakan serumahnya itu tidak dikenakan sebarang
dakwaan polis tetapi mereka diberikan amaran supaya tidak mengulangi
perkara tersebut di masa-masa hadapan."
Monteith dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini pernah mendedahkan
tentang sikap liarnya. Katanya: "Saya mula hisap dadah dan minum arak
sejak berusia 13 tahun dan pada usia 16 tahun saya berhenti sekolah."
Namun menjelang usia 19 tahun, Monteith telah dihantar oleh
keluarganya ke pusat pemulihan sebelum kini mampu menjalani kehidupan
normal.