Seorang pengarah syarikat produk
makanan yang juga kakitangan awam sebuah syarikat pelabuhan bergelar
ustaz dicekup kerana bersekedudukan dengan seorang wanita bukan muhrim
di sebuah rumah dekat Pangsapuri Pesona, di sini, petang semalam.
Serbuan ke atas rumah yang terletak
di Blok A pangsapuri itu dilakukan Biro Keselamatan Persatuan penduduk
Pangsapuri Pesona, kira-kira jam 6 petang selepas menerima aduan
daripada jiran tetangga. Sinar Harian difahamkan, lelaki berusia lingkungan 50-an itu sudah berkahwin dan mempunyai anak dan tinggal di Lunas, Kedah.
Difahamkan juga, rumah di pangsapuri
itu dibeli dari seorang doktor kira-kira dua tahun lalu hanya dijadikan
sebagai tempat persinggahan.
Sementara itu, wakil biro yang hanya
mahu dikenali sebagai Lan berkata, intipan sudah dibuat ke atas rumah
berkenaan sejak setahun lalu selepas pihaknya banyak menerima aduan
daripada jiran lelaki berkenaan. Menurutnya, lelaki itu didakwa
menggunakan tiga kenderaan berbeza setiap kali singgah ke pangsapuri
itu, selain mendakwa setakat ini kira-kira enam wanita berlainan dibawa
masuk ke rumah berkenaan.
“Ketika serbuan dilakukan, lelaki itu
enggan memberi kerjasama dan hanya membuka pintu selepas kira-kira 20
minit diketuk. Apabila pintu dibuka, dia hanya berkain pelekat dan
berbaju, manakala wanita itu pula sudah menanggalkan tudungnya.
“Pada mulanya, dia memberitahu bahawa
wanita berusia lingkungan 20-an itu adalah anaknya. Tetapi, apabila
pemeriksaan dilakukan ke atas kad pengenalan kedua-dua mereka mendapati
sebaliknya. Dia kemudiannya menukar kenyataan pula dengan mengatakan
wanita itu anak saudaranya dan memberi alasan mahu memberikan gula kepada wanita itu,” katanya.
Dalam pada itu, ibu wanita berkenaan
yang tiba tidak lama kemudian dilihat terkejut dengan situasi yang
berlaku dan mengakui lelaki itu adalah anak angkatnya. Pengerusi Kariah Masjid Timah, Ibrahim Talib turut hadir bagi memberi nasihat kepada pasangan berkenaan. Kedua mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.