Penyanyi Farhan Azizan, 28, dan Ahmad Rashdan
Suhaimi, 28, akan melangsungkan pernikahan pada awal tahun depan selepas
dipersetujui dalam majlis pertunangan yang diadakan di Cafe Flora,
AmWalk, di sini, Ahad. Farhan berkata perhubungan cinta yang agak lama iaitu selama enam
tahun itu membuatkan dia dan Rashdan memutuskan untuk menjalinkan ikatan
pertunangan sebelum meneruskan ke fasa perkahwinan.
"Buat masa ini, kedua-dua belah pihak keluarga telah bersetuju untuk
melangsungkan pernikahan kami pada tahun hadapan, tetapi belum memilih
tarikh yang sesuai.
"Majlis resepsi pula akan diadakan di dua tempat iaitu di rumah Rashdan di Kuantan dan Kuala Lumpur pula di pihak saya.
"Jangka masa setahun pertunangan ini dibuat kerana Rashdan baru
sahaja memulakan kerjanya sebagai Pengurus Akauntan di syarikat Petronas
dan dia ingin mengukuhkan kariernya dahulu sebelum bergelar suami,"
katanya.
Rashdan sebelum ini melanjutkan pengajiannya dan bekerja di United Kingdom (UK) selama tiga tahun. Pada majlis tersebut, Farhan mengenakan busana rona kelabu dan ungu rekaan Syarakim. Selain itu, bekas Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) itu turut
menerima sebanyak lima dulang hantaran iaitu sirih junjung, kek cawan,
potpurri, buah buahan dan wang hantaran permulaan (mengikut adat
keluarga Farhan di Johor).
Manakala Farhan pula membalas tujuh dulang hantaran yang antaranya
seperti sirih junjung, buah-buahan, kek, kek cawan, sejadah, coklat dan
dua buah kitab Al-Quran.
Tambah Farhan, dia bersyukur apabila perhubungannya dengan Rashdan
yang agak lama itu sudah hampir ke fasa perkahwinan walaupun melalui
pelbagai dugaan cinta.
"Diakui, bukannya mudah apabila berjauhan, lebih-lebih lagi Rashdan
berada di UK selama tiga tahun. Kami menggunakan pelbagai kemudahan
untuk berhubung seperti menerusi SMS, Skype, BBM, Yahoo Messenger,
Facebook dan sebagainya yang boleh membuatkan kami berkomunikasi. "Malah kami pernah bergaduh sehinggakan tidak berhubung selama dua
bulan, namun perhubungan kami kembali normal selepas Rashdan memujuk
saya," selorohnya.