PROTON Holdings Bhd dijadualkan memperkenalkan kereta global pertamanya, yang akan memenuhi standard piawaian antarabangsa, khususnya di pasaran Eropah pada Februari tahun depan.

Difahamkan, model yang buat masa ini dikenali dengan nama kod P3-21A itu adalah daripada model Proton Tuah iaitu satu daripada kereta konsep yang ditampilkan pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS) akhir tahun lalu.

Model itu adalah kereta konsep sedan baru yang dikatakan bagi menggantikan pengeluaran kereta Proton Persona serta berada pada kelas sama seperti model kereta Toyota Corolla Altis atau Honda Civic.
