BERGELAR anak kepada penyanyi popular Rohana Jalil, pastinya ramai
yang beranggapan bahawa tidak sukar buat Kilafairy untuk mencipta nama
dengan begitu pantas. Pernah mendapat jolokan sebagai ‘Angelina Jolie Malaysia’ oleh
segelintir peminat kerana memiliki bibir seakan-akan aktres popular itu
semakin menjadi sebutan ramai apabila membawakan watak gadis gedik dalam
filem sulungnya berjudul Karak pada tahun lalu.
Bagaimanapun, namanya kini seakan-akan semakin tenggelam dengan
kemunculan lebih ramai pelakon baharu sama ada di kaca televisyen atau
layar perak sehingga ada yang mengatakan kedudukannya sebagai pelakon
mula terancam.
Pemilik nama sebenar Shakila Nisha Jahangir Khan mengakui dia terpaksa
berhadapan dengan saingan pelakon baharu, tetapi tidak merasakan dirinya
tergugat dengan situasi tersebut.
“Kalau melihat kepada keadaan yang berlaku sekarang ini, industri
hiburan di Malaysia semakin meriah dengan kehadiran ramai artis baharu
yang sangat berbakat dan ini adalah satu perkembangan yang cukup baik.
“Namun, saya rasa tidak perlu merasa cemas kerana kebanyakan artis
baharu yang muncul itu juga adalah terdiri daripada kalangan rakan-rakan
saya sendiri dan kami saling menyokong di antara satu sama lain,” ujar
anak bongsu daripada tiga beradik ini.
Menurut Kilafairy, tidak dinafikan memang terdapat segelintir peminat
yang merasakan dirinya semakin tenggelam serta dibayangi oleh ramai
pelakon wanita baharu yang semakin menyerlah dan kerap mendapat liputan
media.
Ujarnya, biarpun menyedari seseorang pelakon itu memerlukan publisiti
untuk lebih dikenali, namun dia agak kurang gemar tampil di media
sekiranya tidak muncul dalam sesuatu produk sama ada drama atau filem
terbaharu.
Bercerita lebih lanjut tentang kerjaya pula, pelakon berkenaan
memberitahu dia masih lagi mendapat banyak tawaran berlakon tetapi
terpaksa ditolak kerana jadualnya yang padat memandangkan kini dia juga
turut menuntut di sebuah kolej.
“Selalunya kalau ada tawaran yang diterima, saya akan diberikan watak
yang sudah klise seperti antagonis dan gadis gedik. Kalau ada tawaran
yang sesuai pula pasti akan bertembung dengan jadual kuliah saya.
“Bukan saya mahu jadi terlalu selektif dalam memilih tawaran
berlakon, tetapi saya percaya kalau hendak terus bertahan dalam bidang
ini sesesorang pelakon harus bijak memilik watak yang ditawarkan,”
ujarnya yang bakal muncul dalam filem Hora Hore pada tahun ini.
Pada masa yang sama, Kilafairy menegaskan buat masa ini dia mahu
memberi lebih tumpuan kepada pengajiannya di peringkat Diploma Lanjutan
Fesyen, Pemasaran dan Pengurusan di Kolej Antarabangsa Raffles.
Ujarnya, dalam usia yang baru menjangkau 20 tahun, dia tidak mahu
terlalu terburu-buru mencipta nama dalam bidang seni dan percaya rezeki
tetap ada di mana-mana dan masih banyak pengalaman yang mahu
diperolehinya.
“Boleh jadi disebabkan kesibukan saya sebagai seorang pelajar, maka
kemunculan saya dalam drama atau televisyen agak kurang sehingga
menyebabkan ramai yang beranggapan saya semakin tenggelam.
“Ketika ini saya hanya mahu tumpukan kepada pengajian saya terlebih
dahulu. Biasanya kalau saya berlakon atau membuat persembahan nyanyian
pun adalah sewaktu mempunyai waktu terluang dan cuti semester,” ujarnya.
Kredit: Kosmo