MENGGALAS tugas sebagai pendakwah bukan satu tugas mudah namun anak
muda berusia 27 tahun ini begitu gigih melaksanakan tanggungjawabnya. Tujuannya hanya satu agar ilmu agama yang dimilikinya dapat dikongsi bersama mereka di luar sana. Melalui pendekatan yang sama seperti pendakwah lain daripada segi
pengisian dakwah, kini nama Ustaz Don semakin meniti di bibir para
peminat apabila program 30 Minit Ustaz Don berjaya menambat hati
penonton TV Alhijrah.
Siapa menyangka kemunculannya yang masih setahun jagung itu bukan
sahaja telah berjaya menarik minat golongan muda dan tua malah turut
mewujudkan fenomenanya tersendiri. Sehinggakan program yang dikendalikan kini yang bersiaran setiap
Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam sebelum ini kini dilanjutkan
sehingga Khamis gara-gara sambutan luar biasa daripada penonton.
Merupakan pemilik Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad
Qiraat Shoubra, Mesir, menurut Ustaz Don, dia tidak mahu terlalu
dibelenggu dengan kejayaan yang dikecapinya kini. Sebaliknya tegas anak muda yang berasal dari Pulau Pinang itu, dia
hanya mahu menumpukan perhatian terhadap tanggungjawab dan amanah yang
diberikan kepadanya. Enggan mengulas mengenai fenomena yang dicetuskan olehnya, Ustaz Don
atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid memberitahu, dia lebih
senang untuk mengatakan populariti yang diraih kini merupakan satu bonus
bagi memudahkan aktiviti dan kerja dakwahnya.
“Apa yang saya lakukan ini tidak lebih daripada untuk meneruskan
aktiviti dakwah sahaja. Ini kerana sejak dari dulu lagi saya merupakan
seorang penceramah bebas.
“Saya memulakan kerja-kerja berdakwah seperti kuliah agama sejak tiga
tahun lalu. Semuanya berlaku tanpa dirancang apabila saya menjadi bidan
terjun menggantikan penceramah yang tidak hadir pada kuliah tersebut.
“Kini apabila muncul di kaca televisyen, sasaran itu lebih meluas
apabila lebih ramai orang boleh menontonnya pada satu-satu masa,”
katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menceritakan kembali bagaimana dia boleh terlibat di dalam bidang
pengacaraan di TV Alhijrah, Ustaz Don berkata, pada mulanya dia dipelawa
oleh salah seorang rakannya untuk menyertai program yang disediakan
oleh stesen televisyen berkenaan.
“Memang pada mulanya agak kekok untuk berada di hadapan kamera.
Maklumlah baru pertama kali. Tetapi saya tidak mahu membebankan diri.
“Apa yang penting adalah saya menjadi diri saya sendiri di hadapan kamera dan ternyata itu ia lebih mudah,” katanya.