PEMAIN Manchester United, Patrice Evra (kanan) sengaja
melakukan provokasi dengan meraikan kemenangan di depan Luis Suarez
sejurus tamat perlawanan di Old Trafford, kelmarin.
Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menegaskan, Liverpool
patut menjual Luis Suarez dan memastikan dia tidak bermain lagi untuk
kelab tersebut selepas penyerang Uruguay itu enggan menyambut salam
Patrice Evra.
Kemarahan Ferguson timbul selepas dua musuh ketat itu bertemu di Old
Trafford kelmarin, yang menyaksikan United menang 2-1 hasil dua jaringan
Wayne Rooney. Dalam perlawanan itu, Suarez enggan menyambut salam kapten United,
Evra ketika pemain bersalaman sebelum memulakan saingan. Ferguson
kemudian membuat rayuan agar bola sepak Inggeris membuang pemain yang
telah dilabel sebagai perkauman daripada negara itu.
Suarez membuat penampilan pertama sejak digantung lapan bulan oleh
Persatuan Bolasepak (FA) kerana didapati bersalah menghambur kata-kata
perkauman terhadap Evra dalam perlawanan kedua-dua pasukan, Oktober
lalu.
Sebelum perlawanan bermula, Suarez enggan menyambut salam Evra ketika
kedua-dua pasukan bersalaman, dan sebagai respons, pertahanan United,
Rio Ferdinand enggan menyambut salam Suarez, sekali gus menimbulkan
suasana tegang.
Evra dilaporkan tidak puas dengan penyerang Liverpool itu apabila
meluru ke arahnya ketika pemain memasuki bilik persalinan pada rehat
separuh masa.
Sejurus tamat perlawanan, Evra sengaja menyemarakkan kemarahan lawan
dengan meraikan kemenangan secara berlebihan di depan Suarez dalam
cubaan menghina pemain tersebut.
"Untuk sebuah kelab yang kaya dengan sejarah, saya pasti akan singkirkan dia, saya pasti melakukannya.
"Kelab Bolasepak Liverpool memiliki pemain yang digantung lapan
perlawanan dan mereka cuba menyalahkan Patrice Evra. Dia (Suarez) yang
sepatutnya dipersalahkan kerana pemain itu menyebabkan mereka mungkin
tidak mendapat tempat di Eropah.
"Saya ada bercakap dengan Patrice sebelum perlawanan, dia beritahu saya bahawa dia sedia bersalam dengan pemain itu.
"Dia (Suarez) memalukan Liverpool. Pemain seperti itu tidak patut
dibenarkan bermain untuk mereka lagi. Dia boleh menimbulkan pergaduhan,
saya benar-benar kecewa,'' kata Ferguson.
Ferguson tetap menyalahkan Suarez sekali pun Ferdinand juga bertindak
buruk apabila enggan menyambut salam Suarez dengan menegaskan, pemain
Uruguay itu yang telah menimbulkan suasana tegang di Old Trafford.