PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan memperkenalkan
varian terbaru kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza SR dengan
harga jualan lebih rendah sebagai tambahan kepada varian sedia ada
dengan tempahan dibuka mulai esok Khamis.
Model Alza berkuasa 1.5 Liter (L) pertama kali diperkenalkan pada
2009, menerima sambutan memberangsangkan apabila mencatat jualan
sebanyak 37,400 unit sepanjang tahun lalu, sekali gus menyumbang kepada
rekod jualan sebanyak 180,000 unit kenderaan keluaran syarikat itu.
Antara ciri perbezaan model Alza SR dengan model varian standard ialah penggunaan satu warna bagi papan pemuka serta hiasan dalaman berbanding dua tona, tidak dilengkapi beg udara keselamatan dan sistem brek anti kunci (ABS) serta tidak dilengkapi sistem kawalan audio di stereng.
Ciri lain seperti rim sport, sistem kunci penggera keselamatan,
sistem audio pemain cakera padat (CD) dan padanan kerusi fabrik masih
ditawarkan kepada pembeli dengan pilihan enjin transmisi manual serta
automatik.
Sumber automotif berkata, model Alza SR yang membawa maksud pemanduan bijak (Smart Ride) itu ditawarkan pada harga jualan RM53,013.50 bagi model manual manakala RM56,013.50 bagi automatik dengan pengurangan harga kira-kira RM2,000 lebih.
Berdasarkan harga jualan dalam laman web rasmi Perodua, harga jualan bagi model Alza 1.5 L varian GX (manual) ialah RM55,503.50 manakala model varian 1.5L EZ (automatik) ialah RM58,503.50. Bagi model versi Advance pula ditawarkan pada harga RM64,203.50 (automatik). Sementara itu, Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dalam ucapannya ketika majlis makan tengah hari bersama media sempena sambutan Tahun Baru Cina semalam berkata, pengguna boleh mengharapkan sesuatu yang ‘menarik’ di semua bilik pameran Perodua pada Khamis ini, namun enggan mendedahkan apa tarikan itu.
Difahamkan, pengenalan model Alza SR pada harga cukup berdaya saing
berbanding model standard adalah susulan garis panduan baru Bank Negara
Malaysia (BNM) yang memerlukan institusi kewangan tempatan membuat
penilaian lebih ketat terhadap kemampuan pembayaran balik individu yang
memohon mendapatkan pembiayaan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Seorang jurujual kereta Perodua ketika dihubungi berkata, pengenalan harga model Alza SR pada harga rendah membolehkan seseorang pembeli mendapat pembiayaan penuh dalam pinjaman kenderaan berbanding kaedah sekarang yang memerlukan seseorang itu menyediakan deposit tinggi. “Model ini lebih kepada model mampu milik dengan beberapa ciri penting tidak dilengkapi, namun tempahan boleh dibuat dan tempoh penyerahan kereta ini bergantung kepada kelulusan bank,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro, semalam.