CAKAPLAH apa sekalipun, penyerang handalan Harimau Malaya, Safee Sali
tetap menyambung kontraknya bersama kelab Pelita Jaya selama dua tahun
berkuat kuasa hari ini.
Perkara ini disahkan sendiri pengurus peribadi Safee di Indonesia, Zakaria Abdul Rahim.
Pengumuman rasmi itu sekali gus menamatkan spekulasi beberapa pasukan
tempatan yang turut mahukan khidmatnya serta dikaitkan dengan kelab di
Eropah.
“Keputusan Safee untuk kekal di Pelita Jaya adalah berdasarkan faktor
umur. Lagipun peluang dia bermain dalam pasukan utama Pelita lebih cerah
dan mampu meningkatkan lagi tahap permainannya berbanding jika dia
mewakili kelab lain.
“Mungkin dia hanya diletakkan dalam bangku simpanan atau lebih buruk
lagi, diletakkan di pasukan liga simpanan kelab,” katanya mengakui Safee
menerima lebih RM2 juta selama dua tahun termasuk pelbagai kemudahan
seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi,
cukai dibayar kelab dan tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang
disediakan kelab dan penghormatan sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.
Dalam pada itu, Safee bersedia menyarung jersi kebangsaan selagi khidmatnya diperlukan.
Difahamkan, Safee juga mendapat tawaran dari pemilik Cardiff City FC
tetapi harus melalui proses bermain bersama kelab di Eropah yang
mempunyai afiliasi dengan Cardiff untuk tempoh sekurang-kurangnya satu
tahun.