Tidak salah guna pelbagai posisi, teknik, tetapi haram melakukan liwat
PERKAHWINAN adalah satu anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya. Islam
adalah agama fitrah yang memahami naluri setiap manusia. Allah tidak
menciptakan manusia semata-mata untuk menyeksa manusia, sebaliknya
diciptakan manusia itu seiring dengan penciptaan sistem yang memenuhi
hajat manusia.
Justeru perkahwinan itu juga satu sistem yang memenuhi fitrah
seseorang manusia. Perkahwinan menghalalkan manusia menyalurkan nafsu
mereka ke arah yang dikehendaki syarak.
Al-Quran membenarkan pasangan lelaki dan wanita yang sudah
diijabkabulkan melakukan persetubuhan. Ayat yang diturunkan oleh Allah
SWT ini, sebenarnya hadiah bagi memenuhi hajat semua makhluk.
Ayat berupa larangan pula sudah semestinya sesuatu keburukan yang
dikenal pasti oleh Allah SWT. Turunnya ayat di dalam surah al-Baqarah
ayat 223 yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun
tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang
kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan
bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan
menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira (wahai
Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman.”
Di dalam ayat ini Allah SWT merestui cara persetubuhan yang dilakukan
oleh seorang suami ke atas isteri dalam apa cara sekalipun. Bahkan
seakan-akan isteri umpama tempat untuk melampias nafsu suami tanpa had
dan batasan.
Namun sebenarnya maksud ayat ini dihuraikan secara tepatnya daripada
hadis Nabi SAW sendiri. Ada had-had yang perlu dibatasi oleh seseorang
isteri. Antara isu yang yang menjadi kekeliruan adalah hukum mendatangi
isteri dari belakang.
Kekeliruan dalam hukum hakam agama sering berlaku dalam masyarakat,
khususnya masyarakat hari ini yang kehidupannya semakin moden dan
terdedah kepada cabaran globalisasi. Bagi menyelesaikan kekeliruan yang
timbul, bantuan dan pandangan ulama sudah semestinya sangat diperlukan.
Terdapat beberapa kekeliruan timbul terhadap ayat 223 daripada Surah
al-Baqarah yang bermaksud: “Isteri-isterimu adalah (seperti) kebun
tanaman kamu, maka datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu
sukai…”
Mereka yang tidak memahami agama dengan baik mengatakan bahawa harus
mendatangi isteri walaupun pada duburnya. Ini salah faham terhadap
maksud nas di atas.
Walaupun terdapat sebahagian pandangan yang agak ganjil dalam
membenarkan perbuatan ini seperti hujah yang menyandarkan perbuatan ini,
namun khilaf atau pandangan ini ditolak majoriti ulama. Ini kerana
terdapat banyak huraian daripada hadis Rasulullah SAW, pendapat ahli
tafsir terdahulu dan semasa.
Kita cuba merungkai beberapa pandangan ulama yang menceritakan sebab diturunkan ayat di dalam 223 di dalam surah al-Baqarah ini.
Pertama: Pendapat Mujahid yang mengatakan ia
disebabkan orang Yahudi menjauhi wanita ketika datang haid serta
mendatangi wanita pada dubur ketika datangnya haid. Bahkan orang Yahudi
menganggap menyentuh wanita ketika haid adalah najis. Oleh itu mereka
mengasingkan mereka daripada makan, minum dan tidur bersama. Manakala
orang Nasrani pula tidak mengambil berat tentang haid. Sehingga mereka
tidak membezakan di antara waktu haid atau tidak. Rujuk Tafsir al-Munir
Wahbah al-Zuhaily.
Kedua: Pandangan dari Jabir bin Abdillah yang
menceritakan bahawa orang Yahudi beranggapan apabila seseorang lelaki
mendatangi isteri (pada farajnya) dari arah belakang, maka bayi yang
bakal dilahirkan akan menjadi juling matanya. Lalu turunlah ayat ini.
Pendapat beliau ini dinukil daripada Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran
karangan Imam al-Qurtubi.
Ketiga: Ibn Abbas mengatakan bahawa ayat ini
diturunkan disebabkan sebilangan golongan Ansar yang mengikuti pandangan
orang Yahudi bahawa anak akan menjadi juling jika suami mendatangi
(faraj) isteri dari arah belakang.
Mereka terpengaruh kerana beranggapan bahawa orang Yahudi itu ahli
kitab yang memiliki kelebihan ilmu berbanding mereka. Disebabkan itu,
berlaku kes apabila sahabat Nabi SAW dari kelompok Quraisy Makkah yang
berhijrah ke Madinah berkahwin dengan wanita Ansar. Apabila ia ingin
melakukan persetubuhan menurut cara budaya orang Quraisy iaitu daripada
hadapan, belakang dan berbaring, maka wanita Ansar itu menolak dan
berkata: “Kami pada kebiasaannya bersetubuh dari arah hadapan saja. Jika
tidak jauhilah daripada aku. Akhirnya berita ini sampai kepada
Rasulullah SAW, lalu turunlah ayat ini.
Ulama membuat kesimpulan bahawa, penafsiran ayat ini sebenarnya
membenarkan suami bersetubuh bersama isteri dari arah mana saja yang
dikehendaki. Tetapi semuanya mestilah dilakukan pada lubang faraj saja.
Disebabkan itulah Imam al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani
mengatakan dengan ini dibolehkan mendatangi isteri dari arah mana
sekalipun asalkan masih ke arah kemaluannya.
Al-Zamakhsyari seorang mufassir yang terkenal dengan kemahiran bahasa
arabnya menyifatkan ia dibolehkan dengan sebab tempat tersebut (faraj)
adalah saluran sebenar dalam melahirkan keturunan.
Kenyataan hukuman ini disokong banyak hadis Nabi SAW berkenaan
pengharaman mendatangi isteri melalui arah belakang (dubur). Antaranya
hadis riwayat al-Tirmizi bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila seorang kamu melepaskan angin (terkentut) maka hendaklah
berwuduk dan jangan mendatangi wanita pada dubur. Maka sesungguhnya
Allah SWT tidak malu dengan perkara sebenarnya.”
Juga dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang lain menyatakan bahawa:
“Allah SWT tidak melihat kepada lelaki yang mendatangi lelaki atau
perempuan pada dubur.” Malah sebahagian riwayat mengatakan perbuatan
suami mendatangi isteri dari arah belakang (dubur) adalah perbuatan
kufur dan tergolong dalam kategori ‘liwat kecil’ seperti yang disebut
dalam riwayat al-Tabrani.
Tidak menjadi masalah bagi pasangan suami isteri yang melakukan
hubungan seks dengan berbagai-bagai posisi atau teknik, tetapi ia mesti
halakan zakarnya ke lubang faraj isterinya. Ini bertepatan dengan hadis
Rasulullah yang bermaksud:
“Tidak kiralah dia berjimak dalam keadaan berdiri, duduk atau
meniarap (suami tindih perempuan yang meniarap) selagi tempat masuk
zakar adalah faraj.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Larangan ini bukanlah bererti Islam mengongkong umatnya menikmati
naluri nafsu masing-masing. Namun Islamlah yang terlebih dulu menghalang
manusia daripada terus tersalah haluan dalam menentukan tempat nafsu
yang sebenar. Dubur itu bukanlah tempat untuk mencari kelazatan jimak.
Dubur adalah tempat keluarnya najis, sudah pasti ia akan
memudaratkan. Sedangkan wanita dalam haid sekalipun dinyatakan kotor
oleh al-Quran, inikan pula dubur.
Ada pula sebahagian orang yang bertanyakan, sekiranya memasukkan
zakar ke dalam dubur isteri itu diharamkan, bagaimana pula sekiranya
memasukkan sesuatu objek ke dalam dubur isteri. Sama ada menggunakan
jari mahupun alat tertentu.
Perkara ini dijawab beberapa ulama, antaranya Imam al-Zahabi. Dalam
sebuah hadis dinukilkan Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair
menjelaskan Allah SWT melaknat suami yang menyetubuhi isteri
masing-masing di duburnya tidak di qubulnya. Jika memasukkan alat
kelamin dilaknat oleh Allah dan berdosa, maka memasukkan jari ke dalam
dubur adalah sesuatu yang haram dan tidak wajar juga.
Kesimpulannya di sini, jimak itu diharuskan melalui mana-mana arah
sekalipun asalkan ia di qubul bukan di dubur. Ini menunjukkan kepada
kita bahawa Islam mempertahankan hak wanita dalam menikmati hidup
berkeluarga.
Sumber: Imam Muda Asyraf dan BHarian Online