Edisi Informasi! Solat tidak sah, berdosa pada lima waktu dilarang!

Oleh Kaki Wayang on

 
Solat tidak sah, berdosa pada lima waktu dilarang

ISLAM menitikberatkan segala aspek ibadat. Allah begitu mencintai hamba-Nya yang senantiasa tunduk di hadapan-Nya. Namun, Allah juga amat mencintai hamba-Nya yang bijak mengatur urusan ibadahnya. Pada waktu tertentu, ada sesuatu ibadah yang perlu diutamakan. Adakalanya, ada sesuatu ibadah yang perlu dikemudiankan.

Begitu juga dengan solat. Adakalanya berzikir dan berwirid itu lebih baik berbanding solat pada waktu tertentu. Ini dapat dilihat bagaimana urusan waktu solat yang dibolehkan dan waktu solat yang dilarang seperti yang tunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. 
 
Allah SWT menetapkan kepada kita kewajipan solat pada waktu yang tertentu. Begitu juga keluasan amalan bagi seseorang hamba untuk menambah baik prestasi ibadah dengan melaksanakan solat sunat. Kesemua ini mempunyai nilai ganjaran yang berbeza bagi sesiapa yang paling hampir mencontohi sunnah dilaksanakan Rasulullah. 
 
Terdapat waktu tertentu yang dimakruhkan solat bagi setiap Muslim. Adakalanya ia dimakruhkan kepada seseorang yang ingin melakukan solat sunat. Malah ada juga ketikanya ia dimakruhkan kepada seseorang itu walaupun ia solat wajib.

Ini kerana pemilihan waktu yang terbaik oleh Allah SWT terhadap urusan solat hamba-Nya berkait rapat dengan soal mementingkan perbezaan umat Islam dengan agama yang lain terutama bagi penganut agama penyembah matahari.

Nabi Muhammad SAW melarang seseorang melakukan solat dalam lima waktu. Tiga waktu disebut dalam sebuah hadis dan dua lagi waktu di dalam hadis yang berlainan. Tiga waktu yang dilarang itu terdapat di dalam hadis daripada Uqbah Amir al-Juhani maksudnya: “Tiga waktu yang Rasulullah SAW melarang kami solat dan mengebumikan jenazah yang meninggal, iaitu ketika matahari muncul hingga ia naik, ketika matahari di tengah-tengah hingga tergelincir dan ketika matahari hampir terbenam.” (Hadis Riwayat Muslim).

Larangan ketiga-tiga waktu ini adalah khusus bagi solat dan mengebumikan jenazah. Adapun waktu lain yang dilarang diterangkan di dalam hadis Abu Said al-Kudri yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : “Tidak ada solat selepas solat Subuh hingga matahari naik, dan tidak ada solat setelah Asar hingga matahari terbenam.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jika diperhatikan kepada hadis yang pertama, ia menetapkan larangan solat apa jenis solat sekalipun sama ada sunat ataupun wajib, manakala bagi hadis kedua pula larangan solat berlaku adalah kepada orang yang ingin melakukan solat sunat selepas solat fardu Asar dan Subuh.

Menurut ulama Mazhab Syafie seperti di dalam kitab Hasyiyah al-Bajuri mengatakan, berdasarkan pendapat muktamad, tiga waktu pertama itu ialah makruh tahrim, sedangkan dua waktu lagi adalah makruh tanzih.

Walaupun ia makruh, namun solat yang dilakukan pada waktu itu dikategorikan sebagai tidak sah. Ini kerana, apabila sesuatu larangan itu ditujukan kepada ibadah berkenaan, baik larangan berbentuk pengharaman atau makruh tanzih sekalipun ia tetap tidak sah. Bahkan dihukum sebagai dosa kerana melakukan ibadah yang salah.

Walaupun begitu, terdapat beberapa pengecualian dalam hal ini. Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menerangkan bahawa ada pengecualian waktu tertentu dan solat-solat tertentu yang dibolehkan kita untuk melakukan solat, walaupun ia solat sunat. Bahkan ia akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Antara waktu yang dikecualikan ialah pada Jumaat. Tidak dimakruhkan melakukan solat ketika matahari berada dalam posisi tepat menegak di langit. Ini berdasarkan hadis dari Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah katanya : “Rasulullah SAW melarang solat pada tengah hari (istiwaa’) kecuali pada Jumaat.

Walaupun hadis ini dinilai daif, seperti yang diterangkan al-San’ani di dalam kitab beliau Subul al-Salam, namun riwayat ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan sahabat Nabi SAW, mereka melakukan solat pada waktu tengah hari Jumaat.

Ditambah pula Nabi SAW menggalakkan supaya pergi solat Jumaat awal pagi, kemudian Nabi SAW juga menggalakkan kita untuk solat ketika imam keluar, tanpa pengkhususan dan tanpa pengecualian.

Begitu juga situasi yang mana seseorang berada di Tanah Haram, Makkah.

Menurut pendapat yang sah, mengerjakan solat di Tanah Haram Makkah tidak makruh kerana ia sabit dari hadis Nabi Muhammad SAW dari Jubair Muth’im yang bermaksud : “Wahai Bani Abd Manaf, jangan kamu melarang seseorang tawaf di rumah ini (baitullah) dan solat pada bila-bila waktu sekalipun yang ia sukai, malam ataupun siang.” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Selain dari Jumaat dan tempat khusus di Tanah Haram Makkah, yang dijelaskan oleh ulama akan keharusan melakukan solat, terdapat juga pengecualian lain yang dibolehkan.

Antaranya adalah, solat yang mempunyai sebab tertentu di awalnya. Sebagai contoh, solat fardu yang terlewat dan belum ditunaikan ataupun solat yang perlu qada.

Termasuk juga solat sunat yang mempunyai sebab tertentu pada awalnya, seperti solat gerhana matahari, tahiyyat (duduk) masjid, solat minta hujan dan solat sunat wuduk.

Kesemua solat-solat yang diizinkan tersebut mempunyai sebab sebelum dari solat itu dilakukan. Berbeza pula dengan solat yang mempunyai sebab yang terkemudian. Contohnya seperti solat istikharah, hajat dan sebagainya serta solat yang tidak ada sebab tertentu. Maka itu semua dilarang untuk dikerjakan.

Inilah kehebatan Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Dalam aspek pelaksanaan ibadah sekalipun, ia menitikberatkan soal keutamaan. Yang mana harus di dahulukan, dan yang mana harus dikemudiankan. Semoga kita tidak tergolong dikalangan orang yang melampau dalam ibadah, namun tergelincir dari petunjuk sunnah. 
 

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...