Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Islam agama yang menggalakkan keindahan, dalam masa yang sama ia
mengajar umatnya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang telah Allah
kurniakan kepada diri mereka. Manusia diciptakan dengan sebaik-baik
kejadian, Apa yang ada pada batang tubuh kita, itulah yang terbaik. Kita
sewajarnya bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan
Di zaman kini, dengan pelbagai teknologi, manusia sudah mampu untuk
menjadikan wajah mereka kelihatan lebih cantik daripada yang asal.Ini
menimbulkan persoalan, apakah hukumnya di sisi syara’. Antara isu yang
sering ditanyakan ialah apa hukumnya memakai pendakap gigi.
Rasulullah SAW bersabda: Allah melaknat perempuan yang menyambung
rambut dan perempuan yang minta disambungkan rambut, perempuan yang
bertatu dan yang minta ditatu, perempuan yang mengikir gigi dan yang
minta dikikir giginya, dan perempuan yang mencabut bulu muka dan bulu
kening.
(Al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW juga pernah melaknatnya, seperti tersebut dalam hadisnya:
“Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yang disebut ‘al-Falaj’, yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi,
agar kelihatan sedikit jarang.. Kemudian dia meletakkan sesuatu di
celahan gigi itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap
suatu penipuan dan berlebih-lebihan dalam berhias yang sama sekali
bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal
menjarangkan gigi ini adalah ‘trend’ Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia
dianggap cantik.
Hadis ini secara umumnya menjadi hujah untuk menyatakan bahawa
memakai pendakap gigi adalah sesuatu yang terlarang. Namun, ilmuan Islam
telah membahagikan hukum pemakaian pendakap gigi kepada dua hukum,
harus dan haram.
Jika dirujuk kepada umum hadis, ianya telah sabit keharaman sekiranya
apabila ia dilakukan semata-mata untuk kecantikan dan menjadikan wajah
lebih menarik. Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan sebab atau ‘illah
diharamkan kerana adanya unsur di atas, khasnya kerana kecantikan.
Tetapi jika dilakukan kerana keperluan perubatan, atau terdapat cacat
pada gigi atau yang seumpamanya, tidaklah mengapa. (Syarah Sahih Muslim:
7/361).
Ia akan menjadi lebih terlarang apabila ia dilakukan untuk menipu
manusia lain supaya kelihatan lebih muda dan lebih cantik. Contohnya
memakai pendapat gigi agar kelihatan lebih cantik ketika mahu meminang
seorang wanita dan sebagainya. Dr. Abdullah al-Faqih dan komiti fatwanya
menyatakan: Jika seseorang melakukannya untuk menipu atau memperdaya
sesiapa yang melihatnya, samaada ia bertujuan untuk perkahwinan atau
sebagainya, maka ia terlarang.
Namun pemakaian pendakap gigi dihukumkan haru sekiranya ianya
bertujuan selain daripada tujuan diatas. Hukumnya harus apabila ia
dilakukan untuk menutup keaiban yang ada pada wajah seseorang.
Contohnya, kedudukan gigi yang terlalu berbeza daripada orang ramai
sehingga menimbulkan ketakutan kepada orang yang melihatnya. Dr. Yusuf
al-Qaradawi berkata: Seandainya orang tersebut mempunyai kecacatan
yang menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang
boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, tidaklah berdosa untuk
berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang
boleh mengancam hidupnya. Ini kerana Allah tidak menjadikan agama
untuk kita dengan penuh kesukaran (Al-Halal wal Haram Fil Islam).
Ia juga dibenarkan untuk dilakukan apabila untuk memperbaiki
kedudukan gigi yang berubah selepas berlakunya kemalangan. Kumiti fatwa
pimpinan Dr. Abdullah al-Faqih menyatakan: Tidak salah untuk memakai
pendakap gigi jika ia bertujuan untuk membetulkan kedudukan gigi
ketempat yang asal selepas berlakunya kemalangan (islamweb.net, fatwa
no: 88719).
Ia juga dibenarkan apabila dilakukan atas sebab kesihatan, atau sebab
keperluan, contohnya susunan gigi yang menyebabkan sukar untuk
mengunyah makanan atau menyebabkan masalah kesihatan di dalam mulut.
Syeikh Faizal al-Moulawi , Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata :
Pendakap gigi bagi tujuan kesihatan adalah dibenarkan menurut syara’,
bahkan ia juga diperlukan.
Sebenarnya tujuan pemakaian pendakap gigi bukan bertujuan hanya
semata-mata untuk mencantikkan. Fungsi asal pendakap gigi bukan
bertujuan untuk menjarangkan gigi atau mencantikkannya. Tetapi lebih
kepada memudahkan fungsi gigi itu sendiri yg mungkin sebelum ini
bengkang-bengkok yang memungkinkan berkumpulnya bakteria atau gigi tak
tersusun yang mana mengakibatkan makanan selalu terlekat. Antara contoh
lain tujuan pemakaian pendakap gigi ialah bagi mengelakkan gigi bawah
yang tergigit langi-langi yang boleh menyebabkan ulser. Begitu juga gigi
yang terbuka yang boleh mempengaruhi fungsi pengahadaman. Ada juga
gigi yang berlapis sehingga berlaku ketidaksempurnaan ketika meberus
gigi dan mengakibatkan masalah gusi dan bau mulut. Malah ada gigi yang
kelihatan jongang yang bersangatan sehinggakan menimbulkan keaiban
kepada dirinya.
Sekiranya berlaku kes-kes sedemikian, maka Islam tidak melarang
mana-mana insan yang berusaha menghilangkan kecacatan dengan pemakaian
pendakap gigi. Ini sesuai dengan garis panduan yang telah difatwakan
oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi:
“Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya
akan dapat menjijikkan pandangan, maka waktu itu tidak berdosa kepada
mereka yang berbuat demikian untuk tujuan menghilangkan penyakit yang
bersarang dan mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama
buat kita ini dengan penuh kesukaran. (Al-Mar’ah Bainal Baiti Wal
Mujtama’: halaman 105).
Maka disini, hukum pemakaian pendakap gigi berkait rapat dengan niat
ataupun tujuan si pemakai tersebut. Berdasarkan Qawaid fiqh: Al-Umur
Bimaqasidiha (Segala sesuatu tergantung kepada tujuannya). Sepertimana
firman Allah SWT:
“Barangsiapa mengkehendakki pahala dunia Kami berikan pahala itu dan
barangsiapa mengkehendakki pahala akhirat Kami berikan pahala itu. Dan
Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali
Imran:145).
Juga hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“Hanyasanya setiap amalan itu dengan niat, dan hanyasanya setiap
orang akan meperolehi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang
hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya iu kepada Allah dan
RasulNya….” (Bukhari dan Muslim).
Apa yang disebutkan di atas tidaklah hanya terikat pada isu memakai
pendakap gigi sahaja. Bahkan ia berkait rapat dengan semua aspek untuk
mencantikkan tubuh atau melakukan pembedahan keatas tubuh badan. Yang
hanya dibenarkan ialah apabila ia dilakukan untuk menghilangkan keaiban
yang benar-benar mengaibkan, atau untuk kesihatan dan menghilangkan
kesukaran yang timbul atas kecacatan tersebut, ataupun ia dilakukan
untuk mengembalikannya kebentuk asal kerana kecacatan tersebut timbul
selepas berlakunya kemalangan.
Ada pun semata-mata untuk kecantikan dan menjadikan diri lebih
menarik, ia sesuatu yang terlarang. Selain daripada isu pendakap gigi,
isu-isu lain yang perlu diambil perhatian sepertimana di dalam hadis di
atas ialah isu mencukur kening. Hukum asalnya adalah haram kecuali jika
kening tersebut benar-benar mengaibkan seperti dua kening yang
bersambung, atau pun kerana ia menganggu penglihatan contohnya bulu mata
yang terlalu panjang sehingga mengganggu mata.
Ada pun semata-mata untuk kecantikan, menipiskan, atau menjadikan diri lebih menarik, ia sesuatu yang terlarang.
Prinsip di atas juga perlu diaplikasikan keatas isu pembedahan
plastic keatas tubuh. Untuk melakukannya hendaklah ia mematuhi
prinsip-prinsip di atas dan ditambah satu syarat lagi, ia hendaklah
tidak mendatangkan kemudharatan yang lebih besar selepas pembedahan
atau ketika pembedahan dilakukan.
Walaupun pemakaian pendakap gigi bergantung kepada niat si pemakai,
namun berbeza dengan amalan popular proses kecantikan masyarakat Melayu,
iaitu pemakaian susuk. Hakikatnya susuk haram sama sekali tidak kira
apa niat ia dipakai.
Ini kerana susuk mengandungi unsur sihir, Kerana si pemakai susuk
telah meletakkan susuk itu sebagai setara dengan kekuasaan Allah iaitu
dengan mengagungkan kebesaran makhluk lain selain dari Allah SWT.
Sedangkan sihir merupakan satu perbuatan syirik dan termasuk di antara
dosa-dosa besar.
Rasulullah s.a.w bersabda: Jauhilah tujuh dosa besar. Para sahabat
bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi:
Menyekutukan Allah, sihir; membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali
kerana hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan,
menuduh perempuan-perempuan baik (berzina) (Riwayat Bukhari dan
Muslim).
Allah mahukan umat sentiasa segak dalam personaliti yang unggul. Agar
tampil memabawa imej Islam yang tampan. Bukan umat yang selekeh ditelan
kepurbaan. Allah juga tidak menghukum umat dari terus berada dalam
keaiban sepanjang hayat. Namun Allah juga mahukan umat belajar erti
menerima sesuatu ketetapan tanpa sebarang unsur pendustaan.
Sumber: Imam Muda Asyraf