MAKAM Abu Hurairah yang terletak di tengah-tengah Suoq Hamidiyah, Damsyiq, Syria.
ABU Hurairah r.a, sahabat Nabi Muhammad SAW, dikatakan biasa berpuasa
sunat tiga hari pada setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam tahun
Hijrah) dan mengisi malamnya dengan membaca al-Quran dan solat tahajud. Beliau akrab dengan kemiskinan dan sering mengikat batu di perutnya
untuk menahan lapar. Dalam sejarah, beliau dikenal sebagai tokoh yang
paling banyak meriwayatkan hadis. Orang mengenalinya sebagai Bapa Kucing
Kecil (Abu Hurairah).
Abu Hurairah adalah sahabat yang sangat akrab dengan nabi. Beliau
dikenal sebagai salah seorang ahli suffah, iaitu golongan fakir yang
tinggal di wakaf masjid (pondok ini juga diperuntukkan bagi para musafir
yang ingin bermalam). Begitu rapatnya beliau dengan nabi sehingga baginda selalu memanggil
Abu Hurairah untuk mengumpulkan ahli suffah, jika ada makanan yang
hendak diagihkan.
Abu Hurairah adalah salah seorang 'tokoh kaum fakir.' Beliau sering
berada dalam keadaan kelaparan. Tetapi beliau terkenal sebagai tokoh
yang teguh berpegang pada sunnah Rasulullah SAW. Beliau sering
menasihati orang agar jangan hanyut dalam kehidupan duniawi dan dorongan
hawa nafsu. Beliau tidak membezakan antara golongan kaya dengan golongan miskin,
pembesar negeri atau rakyat jelata dalam menyampaikan kebenaran.
Malah selalu bersyukur kepada Allah sama ada dalam keadaan susah mahupun senang. Pemilik nama Abdul Rahman (versi lain Abdul Syams) ibn Shakhr
Ad-Dausi itu juga terkenal sebagai seorang yang periang dan suka
berlawak. Beliau banyak menulis anekdot. Beliau juga terkenal dengan sifatnya yang suka menghibur anak-anak kecil dan menyayangi anak-anak kucing. Ke mana-mana sahaja pergi, beliau akan membawa haiwan itu sehingga
julukan Abu Hurairah (bapa kucing kecil) melekat pada dirinya.
Usianya muda 30 tahun daripada Rasulullah SAW. Beliau lahir di Daus,
sebuah perkampungan miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah-tengah
kabilah Azad, beliau menjadi yatim sejak kecil - yang membantu ibunya
menjadi penggembala kambing. Beliau memeluk Islam tidak lama setelah berhijrah ke Madinah pada
tahun ketujuh Hijrah, bersamaan dengan rancangan keberangkatan Nabi SAW
ke medan Perang Khaibar.
Bagaimanapun, ibunya enggan memeluk Islam. Malah ibunya pernah
menghina Nabi SAW. Hal ini membuatkan Abu Hurairah berasa sedih. Oleh
sebab itu, beliau memohon kepada Rasulullah agar berdoa moga-moga pintu
hati ibunya terbuka untuk memeluk Islam. Tidak berapa lama Abu Hurairah kembali menemui ibunya, memujuk ibunya
memeluk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua
kalimat syahadah.
Abu Hurairah berhijrah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana beliau
melakukan pelbagai pekerjaan - menjadi buruh kasar bagi sesiapa yang
memerlukan tenaganya. Seringkali beliau terpaksa mengikatkan batu di
perutnya bagi menahan kelaparan yang bukan kepalang. Begitu cintanya beliau kepada Rasulullah sehingga sesiapa yang
disayangi oleh nabi, beliau akan turut menyayanginya. Misalnya, beliau
suka mencium Hassan dan Hussain kerana selalu melihat Rasulullah mencium
kedua-dua cucu baginda itu.
Tatkala kediaman Khalifah Uthman ibn Affan dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenal sebagai al-Fitnatul Kubra
(bencana besar), Abu Hurairah bersama 700 orang Muhajirin dan Ansar
mengawal rumah tersebut dengan penuh taat setia yang tidak berbelah
bahagi terhadap khalifah. Pada era pemerintahan Khalifah Ali bin Abu Talib, Abu Hurairah
ditawar menjadi gabenor di Madinah. Bagaimanapun, beliau menolak. Ketika
terjadi persengketaan antara Saidina Ali dengan seterunya, Muawiyah bin
Abu Sufyan, Abu Hurairah mengambil keputusan untuk bersikap neutral.
Hinggalah era Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah bersedia menjadi
gabenor di Madinah. Bagaimanapun, terdapat versi lain mengatakan, Marwan
bin Hakam merupakan orang yang memujuk Abu Hurairah bertugas sebagai
pembantunya di pejabat gabenor Madinah. Abu Hurairah menghembus nafas terakhir pada 57 atau 58 H (676-678 M)
dalam usia 78 tahun di Madinah. Beliau meninggalkan warisan yang amat
berharga, iaitu sejumlah 5,374 hadis Nabi Muhammad SAW yang terus
bersinar bak butiran mutiara yang memancarkan kilauan cemerlang hingga
ke hari ini.