Seorang pekerja kilang keluli mati dalam keadaan mengerikan apabila
kepala dan tangan kirinya hancur akibat terperosok dalam mesin melentur
logam di sebuah kilang di Jalan Datuk Stephen Yong, di sini, semalam.
Mayat Hamid Bujang, 32, dari Kampung Tanah Putih, Serian, ditemui
rakan sekerjanya yang curiga apabila ternampak satu ‘objek’ melekat pada
mesin berkenaan ketika mahu memulakan kerja, kira-kira jam 6 pagi.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa dipercayai cuba membengkok besi
tanpa menyedari kepala serta tangannya terlalu dekat dengan mesin
berkenaan.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, selepas ternampak mangsa tersangkut pada mesin dalam keadaan tidak sedarkan diri, dia segera menutup suis mesin berkenaan, namun usahanya terlambat kerana mangsa sudah meninggal dunia.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, selepas ternampak mangsa tersangkut pada mesin dalam keadaan tidak sedarkan diri, dia segera menutup suis mesin berkenaan, namun usahanya terlambat kerana mangsa sudah meninggal dunia.
“Dia (Hamid) berpengalaman lebih 10 tahun bekerja dan mengendalikan mesin di kilang ini. Kebiasaannya, ada beberapa pekerja lain ditugaskan mengendali mesin di kilang ini, tetapi pada hari kejadian, hanya dia seorang saja yang bekerja.
“Terkejut dengan kejadian itu, saya kemudian menghubungi Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Sepasukan anggota polis turut bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu bagi menjalankan siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, mangsa yang sudah berkahwin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke HUS untuk bedah siasat.
“Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.