Polis berjaya menumpaskan cubaan mengedar 2.8 kilogram dadah jenis
syabu yang disorokkan di dalam 16 buah omboh kenderaan dalam serbuan di
sebuah rumah kedai di Taman Orkid, Cheras di sini pada 1 Februari lalu.
Taktik terbaru itu didalangi warga Afrika ekoran penahanan dua lelaki masing-masing dari Nigeria dan Guinea serta seorang wanita tempatan yang berusia 24 hingga 42 tahun dalam serbuan pukul 6 petang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui satu guni plastik yang mengandungi empat kotak komponen kenderaan itu.
"Setelah diperiksa terdapat bungkusan dadah diletakkan di dalam omboh itu. Kita percaya ia taktik terbaru digunakan tetapi kita yakin ia bukan kali pertama dilakukan mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Noor Rashid berkata, pihaknya juga berjaya menumpaskan cubaan seorang lelaki warga Singapura untuk menyeludup 1,000 pil Eramin 5 di Taman Austin Perdana, Johor Bharu pada 31 Januari lalu.
Katanya, suspek dikesan bersembunyi di Johor atas kesalahan dadah serta memiliki pelbagai rekod jenayah lain seperti pecah rumah, mencabul dan bergaduh.
Tambahnya, kejayaan itu adalah hasil maklumat yang disalurkan oleh Biro Narkotik Pusat Singapura.
"Suspek ditahan bersama seorang wanita tempatan dan seorang wanita Filipina yang kesemua mereka berusia 30 hingga 49 tahun," katanya.
Noor Rashid berkata, kedua-dua kes terbabit melibatkan nilai RM700,000 dan disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya.