Penyanyi antarabangsa Avril Lavigne tampil dengan aksi yang bercelaru dalam konsert jelajah Black Star Concert Live in Malaysia 2012 di Stadium Merdeka, di sini, malam Sabtu, kerana didakwa berada dalam keadaan mabuk. Walaupun konsert itu mendapat respons yang baik daripada 14,000
penonton, ia dianggap gagal mengaburi kerapuhan persembahan pemilik nama
sebenar Avril Ramona Lavigne itu. Bermula pada sekitar pukul 9 malam, penyanyi dari Ontario, Kanada itu membuka tirai persembahan dengan lagu Black Star yang dipetik daripada album terbarunya, Goodbye Lullaby (2011).
Tempo konsert terus rancak apabila penyanyi berusia 27 tahun itu menyampaikan lagu rancak daripada album yang sama iaitu What The Hell. Keadaan hujan renyai yang melatari atmosfera stadium tidak sedikit
pun menjejaskan momentum konsert yang berdurasi satu jam setengah dek
keterujaan yang berterusan daripada penonton. Secara kolektif, sekalipun aksi Lavigne dicemari kualiti vokal dan
stamina yang goyah, dia tetap berjaya mendominasi tumpuan segenap
pelusuk stadium menerusi 17 rangkaian lagu.
Antara lagu-lagu yang disampaikan pada konsert tersebut termasuklah Ska8er Boi, When You're Gone, Wish You Were Here, Girlfriend, My Happy Ending, Smile dan I'm With You. Konsert itu turut mencuri perhatian apabila Lavigne mendendangkan lagu Airplanes nyanyian asal B.o.B bersama Hailey Williams (vokalis kumpulan Paramore) dan lagu Pumped Up Kicks (nyanyian asal Foster The People) dipersembahkan oleh pemuzik pengiringnya. Lavigne melabuhkan tirai persembahan pada malam itu dengan lagu yang memperkenalkannya di pentas muzik antarabangsa iaitu Complicated.
Hakikatnya, kualiti persembahan bekas isteri kepada vokalis kumpulan
Sum 41, Deryck Whibley ini tidaklah segah nama dan popularitinya. Draf persembahan anak kedua dalam keluarga ini bertambah buruk
menjelang pertengahan konsert apabila kualiti nyanyiannya kedengaran
teruk dan tidak menentu.
Kekurangan itu ketara kerana Lavigne bukan hanya gagal untuk menyanyi
dengan baik, malah dia kelihatan hilang fokus pada persembahan
tersebut. Seperkara yang mengejutkan sesudah konsert, mStar Online
difahamkan kecelaruan Lavigne sepanjang konsert itu mungkin berpunca
daripada penyanyi itu yang didakwa beraksi dalam keadaan mabuk. Namun, bintang bertubuh kecil ini cukup bertuah kerana memiliki aura dan pesona yang menjadi penyelamat konsert.
Dan mujur juga keterbukaan para penonton yang menyanyi bersama lagu-lagu popularnya mampu mengimbangi kecelaan tersebut. Sejak menceburi bidang nyanyian pada 2000, Lavigne sudah menghasilkan empat buah album studio iaitu Let Go (2002), Under My Skin (2004), The Best Damn Thing (2007) dan terbaru, Goodbye Lullaby.