Edisi Pendidikan! Berita Baik Kepada Semua Pelajar: Semua Pelajar 9A+ Ke Atas Terima Penajaan!

Oleh Kaki Wayang on


Semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011 yang mendapat keputusan 9A+ dan ke atas ditawarkan penajaan kewangan Bursary secara automatik oleh Kementerian Pelajaran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penajaan kewangan tersebut yang bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar dibuat tanpa mengira etnik, kaum, keturunan serta latar belakang.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 1,609 pelajar lepasan SPM 2011 telah dikenal pasti layak mendapat penajaan Bursary iaitu 1,020 yang mendapat keputusan sembilan A+, 492 pelajar (10A+), 90 pelajar (11A+) dan tujuh pelajar (12A+).

"Bursary merupakan bantuan kewangan yang disediakan Kementerian Pelajaran untuk mengikuti pengajian di peringkat prauniversiti sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di universiti dalam atau luar negara.

"Ini sebagai tanda prihatin kerajaan dengan keluhan ibu bapa pelajar yang mencatat keputusan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat penajaan kerana persaingan sengit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tahun ini pula, beliau berkata, seramai 50 pelajar lepasan SPM paling cemerlang akan ditaja di bawah Program Biasiswa Nasional. Katanya, calon terpilih akan ditawar biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat ijazah pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan serta bidang pilihan di universiti dalam dan luar negara sebagaimana disenarai JPA.

Bagi Program Ijazah Dalam Negara pula kata beliau, JPA akan turut menaja 10,300 orang pelajar lepasan mana-mana program persediaan untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama dalam program yang telah diiktiraf di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara pengajian peringkat prauniversiti yang layak mendapat penajaan Bursary ialah pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selain itu kata beliau, program Matrikulasi bagi jurusan Sains dan Perakaunan, program Asasi bawah Kementerian Pengajian Tinggi serta kursus A-Level juga layak mendapat penajaan Bursary dari Kementerian Pelajaran.

"Bagi kesemua program prauniversiti yang tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar yang telah ditawar atau ditempatkan di pusat persediaan yang ditetapkan oleh kerajaan. "Pelajar lepasan Bursary akan ditawarkan penajaan peringkat ijazah pertama di dalam atau luar negara mulai tahun 2014 di bawah anjuran JPA sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, untuk maklumat lanjut, para pelajar boleh melayari laman web www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan mengemaskini profil bagi program Busary mulai 16 April ini.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...